KESALAHAN MENCURI AIR TERAWAT / ILLEGAL WATER USAGE| #throwback kisah minggu lepas. Ketika sedang meneliti precedent case untuk persediaan kes kemalangan yang dibicarakan tak lama lagi, tiba-tiba saya didatangi oleh rakan sekerja dari Unit Penguatkuasaan.


"Puan, ada seorang consumer tunggu di depan untuk berjumpa Puan berkenaan kes dia", beritahu rakan sekerja tadi sambil menunjukkan sekeping kad pengenalan kepada saya. Saya bingkas bangun sambil mencapai fail berkaitan merujuk kepada nama consumer yang tertera di kad pengenalan tersebut. Tanpa fikir panjang saya terus menuju ke lobi.

“Ya, Encik Ali (bukan nama sebenar). Boleh saya bantu.” Saya bertanya kepada lelaki berkenaan. “Puan, kenapa? Apa cerita sekarang?” balas lelaki tersebut tak semena-mena. “Encik datang sini untuk kes curi air kan?” saya membalas dalam hati merungut, dia datang sini lagi mau tanya kita. The best part dia pura-pura tak tahu cerita. “Haaaa Puan tahu pun.....” ujarnya seolah-olah menguji ingatan  saya.

“Macam mana kes saya.. Saya tak bersalah, saya tak buat sambungan tanpa meter yang pihak Puan dakwa.” – ujar lelaki berkenaan dalam nada emosi. “Encik, Unit Penguatkuasaan kami telah menjalankan tugas mereka. Segala bukti telah diserahkan kepada saya untuk semakan dan tindakan sivil di Mahkamah. Sebarang rayuan kami tak dapat pertimbangkan melainkan Encik selesaikan keseluruhan jumlah tuntutan. Jika tidak, saya minta maaf, saya terpaksa meneruskan tindakan seperti yang diarahkan oleh majikan”, balas saya panjang lebar.

“Bukan saya tak mahu pergi Mahkamah, ikutlah Puan, saya tahu saya tak bersalah tapi lecehlah turun naik Mahkamah”, sambungnya lagi. “Itulah pengorbanan yang terpaksa Encik lalui untuk buktikan Encik tak bersalah” jawab saya ringkas.

Hurrrmmmmm salah atau betul sama-sama kita huraikan satu persatu semasa perbicaraan nanti biar Mahkamah yang menentukan, bisik hati saya..

Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kesalahan mengambil air terawat tanpa meter merujuk kepada Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 iaitu mana-mana premis yang telah dipotong bekalan air didapati telah menyambungkan semula bekalan air tanpa kebenaran syarikat air, penghuni premis itu dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Maksudnya dalam bahasa pasar, jika bekalan air dah dipotong lepas tu penghuni premis buat sambungan tanpa meter untuk mendapatkan air terawat merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di Mahkamah.

Seksyen 123(1) pula memperuntukkan tiada seorang pun selain syarikat air boleh membuat sambungan ke suatu sesuatu sesalur utama awam atau paip perkhidmatan. Kesalahan bagi sesiapa yang melanggar seksyen 123(1) denda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Perlu diingat, kewajipan syarikat air untuk menyelenggara sistem bekalan air awam setakat penghujung paip sebelum meter. Apa-apa yang berlaku selepas meter adalah tanggungjawab pengguna atau pemilik/penghuni premis.

Oleh itu pesanan saya, sila pastikan bekalan air terawat ke rumah anda berada dalam keadaan ‘normal’ tanpa sebarang sambungan tanpa meter yang menyalahi undang-undang. Sekiranya kes curi air ini berleluasa ianya menyebabkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan dan lebih banyak lagi kehilangan air terawat. Kita juga akan rugi kerana sumber air semakin hari kian menyusut.

Sekian info yang ingin saya kongsi bersama. Semoga ianya bermanfaat kepada kita semua.


Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..


Regards,