KOPI AIS VIETNAM BERACUN : Begitulah tajuk entry saya kali ini.. Ini kisah benar. Kes ini berlaku di Olivier Cafe yang terletak di kompleks membeli belah Grand Indonesia, Jakarta. Saya telah mengikuti perkembangan kes ini tahun lalu dan baru berkesempatan untuk kongsi di blog ini. Ianya tentang kes pembunuhan yang mendapat liputan luas di Indonesia dan Australia tahun lepas. Kes ini juga mungkin boleh dijadikan ikhtibar kepada kita. 

Kisah ini berlaku pada 6.1.2016 apabila Wayan Mirna Salihin meninggal dunia selepas meminum kopi ais Vietnam (Vietnamese Iced Coffee) yang telah dipesan oleh rakannya, Jessica Kumala Wongso. Mulut Mirna berbuih selepas meneguk kopi berkenaan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Abdi Waluyo di Menteng, Jakarta. Hasil autopsy mendapati bahawa kopi yang telah diminum oleh Mirna mengandungi racun jenis sianida (cyanide) yang menyebabkan pendarahan dalam perut Mirna.


Persoalannya siapakah 'pelaku' dalam kes ini? Siapakah yang memasukkan sianida ke dalam kopi Mirna? Itu soalan yang menarik apabila kita membaca sesuatu kes jenayah. Okay teruskan membaca..

Jessica merupakan rakan kolej Mirna semasa mereka belajar di Billy Blue College of Design di Sydney Australia dan di Swinburne University of Technology. Jessica memegang kerakyatan Australia apabila bekerja dan menetap di sana manakala Mirna pulang ke Indonesia selepas menamatkan pengajiannya sekitar tahun 2008. Ketika kejadian Mirna baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Arief Soemarko.

Mirna & Arief 
Sumber : Facebook

Pada pukul 2 petang hari kejadian, Jessica tiba di kompleks membeli-belah Grand Indonesia Jakarta dan telah berjanji dengan Mirna untuk berjumpa pada pukul 5 petang selepas Mirna selesai bertugas. Jessica telah membuat tempahan meja di Olivier Cafe iaitu meja nombor 54. Sementara menunggu Mirna, Jessica sempat membeli-belah. Jessica kembali ke Olivier Cafe pada pukul 4 petang dan telah memesan minuman termasuk Vietnamese iced coffee yang telah membunuh Mirna. Jessica menunggu kehadiran Mirna yang tiba pada pukul 5 petang bersama seorang lagi rakannya bernama Hani.


Keraguan bermula di sini, berdasarkan rakaman CCTV sepanjang tempoh Jessica menunggu ketibaan Mirna, minuman yang telah dipesan didapati terlindung dengan beg-beg kertas tersusun di atas meja. 

Apabila Mirna tiba di Olivier Cafe bersama Hani, Jessica berkata : "Ini kopi kamu Mir, kamu mahu kopi ini." Mirna terus menyedut kopi berkenaan dan selepas itu sempat mengadu bahawa rasa kopi tersebut teruk dan tidak seperti biasa sambil mengipas mulutnya dengan tangan. Mirna menolak cawan kopi tersebut kepada Jessica untuk Jessica rasa dan dapat mengesahkan rasa kopi tersebut tetapi ditolak oleh Jessica. Hani mengambil cawan tersebut dan rasa sedikit di hujung lidah, Hani sependapat dengan Mirna. Hani mengesahkan bahawa rasa kopi tersebut pahit, panas dan pedas. Lebih kurang 2 minit selepas itu, Mirna mula menunjukkan rasa kurang selesa dan kejang serta buih keluar dari mulutnya. Mirna pengsan. Hani panik dan menjerit nama Mirna untuk menyedarkannya.


Kakitangan di Olivier Cafe bergegas memberi bantuan kepada Mirna. Mirna telah dibawa dengan ambulance ke Hospital Abdi Waluyo dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.00 petang hari yang sama.


Gambar di bawah diambil dari rakaman CCTV yang menunjukkan Jessica hanya tercegat ketika keadaan huru-hara sambil memerhati Hani dan kakitangan Olivier Cafe memberi bantuan kepada Mirna. Ini juga menimbulkan keraguan kepada pihak Pendakwaraya. Tambahan pula, ketika Jessica tercegat, dia kelihatan menggaru-garu tangannya. Di situ terdapat persoalan yang perlu dikaji. Mengapa? Teruskan membaca..


Hasil bedah siasat yang dijalankan di Kramat Jati Police Hospital mendapati bahawa terdapat pendarahan dalam perut Mirna. Polis mendakwa bahawa ianya berpunca dari tindakbalas racun sianida yang ditemui dalam kopi yang telah diminum oleh Mirna.


Pada 30.1.2016, Jessica telah ditahan dan dituduh menyebabkan kematian Mirna. Jessica telah dibawa ke lokap sementara menunggu dibicarakan. Kes ini mendapat liputan meluas di Australia kerana Jessica warganegara Australia. 

Polis Australia hanya akan memberi kerjasama dalam siasatan ini sekiranya kerajaan Indonesia memberi jaminan kepada mereka bahawa sekiranya Jessica didapati bersalah hukuman mati tidak akan dikenakan kepada Jessica. Perbicaraan kes ini berlangsung pada 12.7.2016 di mana Jessica telah dituduh membunuh Mirna dengan memasukkan racun sianida ke dalam minuman Mirna sehingga menyebabkan kematian.


Polis Indonesia menyiasat latarbelakang Jessica semasa berada di Australia. Ada laporan menunjukkan Jessica pernah menjalani ujian psychology dan terdapat perintah penahanan (restraining order) pernah dibuat oleh bekas teman lelaki Jessica kepada pihak berkuasa Indonesia serta spekulasi lain antaranya motif dendam akibat cemburu dan cinta tiga segi. Walaubagaimana pun, peguam Jessica yang marangkap pakciknya menyangkal (for sure) semua dakwaan tersebut dan menafikan bahawa anakguamnya terlibat dalam pembunuhan Mirna.

Pendakwaraya Ardito Muwardi memutuskan bahawa motif pembunuhan Mirna disebabkan beberapa faktor:

Dendam kerana Mirna pernah menasihati Jessica supaya memutuskan hubungan dengan teman lelaki Jessica yang memiliki sikap panas baran dan penagih dadah. Hal ini menjadikan Jessica marah dan pernah tidak berhubung agak lama dengan Mirna sedangkan mereka berkawan baik. Oleh itu Jessica berniat untuk membalas dendam dan merancang untuk membunuh Mirna. 

Selain itu, Jessica tiba awal di Olivier Cafe pada hari berkenaan kerana melalui rakaman CCTV, Jessica dilihat memandang sekeliling (dalam keadaan mencurigakan) seolah-olah meninjau persekitaran ketika memilih tempat duduk di kafe berkenaan. Pendakwaraya menyatakan Jessica memilih tempat tersorok  iaitu meja nombor 54 kerana lokasi meja tersebut terlindung dan jauh dari CCTV. 

Semasa memesan dan membayar minuman, Jessica minta pelayan kafe berkenaan supaya menghantar minuman tersebut pada pukul 4.24 petang sedangkan perjumpaan telah ditetapkan pada pukul 5.00 petang selepas waktu pejabat Mirna. Pihak Pendakwaraya menyatakan bahawa Jessica sengaja menyusun beg-beg kertas di atas meja untuk melindungi minuman tersebut dan ketika itu Jessica memasukkan racun sianida ke dalam minuman Mirna. Hasil rakaman CCTV mendapati Jessica mengalihkan beg-beg kertas tersebut di sisinya atas kerusi panjang tidak lama selepas itu.

Selain itu, menurut pelayan kafe tersebut, prosedur penyediaan minuman kepada pelanggan ialah tidak memasukkan straw ke dalam minuman. Straw diletakkan di atas meja bersebelahan cawan. Tetapi dalam kes ini menurut Hani straw telah berada di dalam cawan Mirna. Mirna menggunakan straw tersebut untuk mengacau (bahasa Indonesia : mengaduk) minuman tersebut.

Pembelaan bersandarkan bahawa hanya Jessica seorang sahaja suspect dalam kes ini - suspect tunggal. 

Menurut Pendakwaraya lagi, walaupun Hani merasa kopi tersebut tetapi Hani hanya meletakkan di hujung lidah dan ianya tidak mengancam nyawa Hani. Pakar forensik mengesahkan bahawa kandungan sianida yang terdapat dalam kopi yang diminum Mirna ialah 298mg, lebih dari cukup untuk membunuh saiz tubuh seperti Mirna. 

Jawapan mengapa Jessica menggaru-garu tangan, ia disebabkan oleh kulit yang telah bersentuhan dengan racun sianida akan mengakibatkan kegatalan atau iritasi. Hal ini turut diakui oleh pakar kimia yang dipanggil sebagai saksi dalam kes ini. Seluar jeans yang dipakai oleh Jessica pada hari kejadian turut dibuang oleh Jessica atas alasan koyak. Pendakwaraya mendakwa kemungkinan seluar itu terkena racun sianida semasa Jessica memasukkan ke dalam cawan kopi tersebut. Selain itu terdapat beberapa fakta lain yang menyokong dakwaan terhadap Jessica.

Setelah mengambilkira fakta-fakta kes dan pihak Pendakwaraya berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah terhadap tertuduh, akhirnya pada 27.10.2016, Ketua Hakim Kisworo menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Jessica. 




Apa yang kita pelajari dalam kes ini, jangan menyimpan dendam hingga membinasakan masa depan kita. Kawan baik pun boleh jadi lawan.

Okaylah, terima kasih atas kesudian rakan-rakan blogger membaca entry ini.. Begitu juga dengan rakan bloggers yang sudi tinggalkan komen dalam posts saya sebelum ini dan juga posts seterusnya, menyokong saya ketika down. Sayang awak semua 😘..

Friendship forever okay, jangan seperti Jessica, kawan makan kawan..


Sehingga kita bertemu lagi di lain entry..
Sekian, wasalam..


Regards,
I am LZ