KISAH BENAR DI BOH SG. PALAS TEA CENTRE, CAMERON HIGHLANDS | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini.. Entri kali ini mengenai kisah benar yang diceritakan semula oleh office mate saya bernama Ika (bukan nama sebenar) bersama rakannya ke Cameron Highlands bulan lalu.. Saya kongsi di sini untuk mendapatkan maklumbalas dari pembaca mengenai situasi yang berlaku..

Al-kisah, Ika bersama Bienda (bukan nama sebenar) (kawan Ika), Sara (bukan nama sebenar) (adik Ika) dan ayah Bienda ke Cameron Highlands makan angin hujung minggu. Ayah Bienda mengidap penyakit buah pinggang dan diabetes kronik sehingga menyebabkan kedua-dua matanya buta serta terpaksa berkerusi roda manakala ibu Bienda telah lama meninggal dunia sejak dia kecil. Jadi Bienda yang masih bujang menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab menjaga ayahnya yang sakit kerana tidak mahu membebankan adik-beradik yang lain atas sebab mereka sudah berumahtangga. Bienda anak bongsu dalam keluarga.

Boh Sg. Palas Tea Centre, Cameron Highlands
Pada hari itu, Bienda teringin membawa ayahnya berjalan-jalan ke Cameron Highlands memandangkan hari-hari biasa dia sibuk bekerja dan membiarkan ayahnya sendirian di rumah. Jadi cuti hujung minggu adalah masa yang sesuai untuk menumpukan perhatian dan menggembirakan ayahnya. Bienda meminta Ika dan adiknya Sara menemaninya. Bienda memandu kereta dari Seremban ke Cameron Highlands. Sepanjang hari di Cameron Highlands mereka sungguh gembira sehinggalah ke destinasi terakhir iaitu di Boh Sg. Palas Tea Centre.

Ketika itu terlalu ramai pengunjung dan mereka terpaksa menunggu meja kosong. Tak lama ada sebuah meja kosong kecil di satu sudut. Jadi Ika mengarahkan Sara untuk menunggu di situ sementara Bienda menyorong kerusi roda ayahnya menghala meja kosong tersebut dan meletakkan ayahnya berhampiran Sara. Sara dan ayah Bienda duduk di situ sementara Ika dan Bienda beratur untuk memesan makanan.

Di hadapan meja tersebut kelihatan sepasang suami isteri duduk bertentangan Sara dan ayah Bienda. Sara dapat mendengar wanita di depannya berkata kepada suaminya : "Iskh... tak selesalah duduk sini.. Jijiklah..  Apalah garu sana, garu sini, tak selera" Si suami berusaha memujuk isterinya yang merungut dan masam muka sambil menjeling ke arah ayah Bienda. Tak lama selepas itu, si suami bangun dan menghampiri Sara sambil berkata : "Adik, boleh tak alihkan pakcik ni ke tempat lain. Isteri saya sedang mengandung, dia tak boleh tengok benda-benda yang dia tak suka.. Maaflah, harap adik faham..." Apabila mendengar kata-kata itu, Sara bingkas bangun lalu mengadukan perkara itu kepada Ika dan Bienda yang sedang beratur membeli makanan..

Bienda rasa tak selesa, lalu datang mendapatkan ayahnya.. Tak lama selepas itu Ika terpandang satu meja kosong yang baru ditinggalkan oleh pengunjung lain. Ika dengan segera mengarahkan Bienda meletakkan ayahnya di situ sambil mengangkat cawan dan pinggan yang masih belum dibersihkan di meja tersebut. Ika meletakkan cawan dan pinggan kotor tersebut di meja kecil tempat mereka duduk sebelum itu dengan rasa marah sambil menjeling ke arah pasangan suami isteri tersebut. Menurut Ika, dia tidak berniat menghempas cawan dan pinggan tersebut tetapi terdengar bunyi cawan dan pinggan tersebut berlaga seolah-olah dihempas Ika. 

Selepas mereka mendapatkan makanan dan cuba untuk menyesuaikan diri, pasangan suami isteri tersebut bangun dan si suami duduk di sebelah kerusi Ika yang kebetulan kosong manakala si isteri berdiri bersebelahan suami di hujung meja. Si suami berkata kepada Ika : "Awak tahu tak cara awak letak cawan dan pinggan tu kasar, rude! Kurang ajar!" Ika membalas : "Habis isteri abang cakap macam tu mengata pakcik ni jijik, tak kurang ajar?" Si suami membalas : "Saya tegur tadi baik-baik, takde pun tinggi suara. Kenapa awak nak marah? Kurang ajar!" .. Ika membalas : "Saya pun cakap baik-baik, tak tinggi suara.. Tengoklah kalau abang sakit nanti, isteri abang jijik tengok abang." Si suami tetap masih membalas kata-kata Ika.. bla... bla.. bla... Menurut Ika mereka berbalas kata-kata dan si suami mengulangi ayat "kurang ajar" berkali-kali malah menuntut Ika meminta maaf kepada isterinya tetapi Ika enggan.


Mendengar si suami dan Ika bertikam lidah, Bienda bingkas bangun dan berkata dengan kuat : "You all nak tahu tak, perempuan ni dia jijik tengok ayah saya! Ayah saya sakit! Dia suruh ayah saya pergi dari sini sebab dia jijik tengok ayah saya!" Mendengar kata-kata itu, pasangan suami isteri itu terus meninggalkan mereka dan berlalu pergi.

Soalan saya selepas Ika habis bercerita :

"Adakah ayah Bienda berbau busuk?"  Ika jawab : "Tidak"

"Adakah bag urine tergantung di kerusi roda ayah Bienda?"  Ika jawab : Tidak, ayah Bienda pakai lampin pakai buang dan Bienda baru ganti sebelum mereka ke situ."

"Mengapa ayah Bienda mengaru?" Ika jawab : "Dia bukan menggaru tetapi sesekali menggosok-gosok kulitnya kerana ubat buah pinggang yang diambilnya menyebabkan dia tidak selesa."

..... tiada soalan lain memandangkan saya tidak menjumpai sebarang unsur-unsur jijik di situ......

Andai disebabkan alahan mengandung, saya rasa lebih baik mereka suami isteri 'mengalah' dengan beredar dari situ. Tambahan pula mereka lebih dahulu berada di situ dan sudah pun habis menjamah makanan. Cuba letakkan diri kita bila tua nanti.. Kita tak tahu nasib kita dan apa akan berlaku.. Saya agak kecewa kerana ada orang Melayu kita yang terkenal dengan budi bahasa memandang rendah kepada orang lain terutama kepada orang tua yang tidak berdaya.. Wallahualam.. Itu sekadar pendapat saya..

Begitulah, saya harap pembaca faham apa yang ingin saya sampaikan.. Apa pendapat pembaca mengenai kisah ini.. Wajarkah situasi ini berlaku? Hurrrmmmm entahlah, saya masih belum boleh terima perkara seperti ini adalah satu kisah benar dan ianya benar-benar berlaku dalam masyarakat kita..



Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..


Regards,