Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini.. 
Lama saya tak berkongsi cerita tentang kes jenayah seperti blog post sebelum ini.. Memandangkan kita masih berada dalam bulan Syawal, saya kongsi satu kes jenayah yang berlaku pada 22 Ogos 2012 ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.. Seperti biasa, mukadimah saya sebelum berkongsi sesuatu kes jenayah iaitu saya tidak bertujuan untuk mengaibkan keluarga si mati atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes ini tetapi lebih kepada menjadikan setiap kes sebagai ikhtibar kepada pembaca.
Kes Jenayah : Tragedi Aidilfitri
LATARBELAKANG KES

Kes ini telah didengar di Mahkamah Rayuan (Putrajaya) pada 29 Mac 2018 lalu.
Perayu (pesalah) telah dituduh bagi kesalahan membunuh iaitu menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki bernama AR, jam lebih kurang 8.00 malam di mana kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

KES PENDAKWAAN

Perayu merupakan adik ipar kepada AR (si mati). Perayu berkahwin dengan adik perempuan AR iaitu KA.

Pada 22.8.2012, jam lebih kurang pukul 7.30 malam pada Hari Raya Aidilfitri ke-4, IA (abang si mati) dan si mati duduk berbual di sebuah pangkin di rumah mertua Perayu. Turut sama dalam perbualan tersebut ialah kakak si mati bernama SA dan Perayu. Dalam perbualan tersebut, Perayu tiba-tiba telah mengatakan bahawa tidak lama lagi mereka akan dapat duit pusaka tanah arwah bapa si mati sebanyak RM30,000.00. Perayu mengetahui hal tersebut melalui isterinya, KA. IA agak terkejut kerana sebelum itu tidak mengetahui tentang duit harta pusaka arwah ayah mereka.

Sejurus itu IA masuk ke rumah dan bertanyakan hal demikian kepada KA berkenaan perkara yang baru diberitahu oleh Perayu kepada mereka (si mati, SA dan IA). 

KA hanya menjawab : "Habislah aku nanti kena pukul.."

Selepas itu  KA terus keluar dari rumah mengikut pintu belakang. Seketika kemudian, IA melihat Perayu masuk ke dalam rumah mencari isterinya (KA) tetapi tidak jumpa. Sementara itu, IA keluar daripada rumah dan pergi ke halaman rumah dan bersandar pada keretanya. Perayu datang menghampiri IA. 

Ketika itu si mati datang dan berkata kepada Perayu : "kalau ada apa-apa hal pun dalam rumah tangga tolong jangan naik kaki tangan. Tu pantang aku." Perayu menjawab : "Ini hal bini aku, rumah tangga aku. Tolong jangan campur."

Mendengar jawapan Perayu, si mati telah menjawab : "Dia bini kau tapi dia adik aku." Si mati seterusnya memberitahu Perayu jika dia dengar adiknya (KA) dipukul, si mati akan datang cari Perayu. Si mati terus beredar pergi meninggalkan Perayu.

Semasa si mati beredar, perang mulut masih berlaku antara si mati dan Perayu. Selepas 3 hingga 4 langkah si mati telah berpatah balik ke arah Perayu dan berlaku tolak menolak antara si mati dengan Perayu. IA melihat hal tersebut tidak meleraikan mereka kerana beranggapan bahawa ianya sekadar pergelutan antara adik-beradik. 

Namun, menurut IA dia melihat keadaan menjadi lebih serius apabila daripada tolak-menolak, si mati dan Perayu telah bergumpal di atas tanah berdekatan IA. IA telah memaut belakang badan Perayu yang ketika itu sedang berada di atas badan si mati. IA merebahkan dirinya bersama si mati dan Perayu di atas tanah.

Perayu kemudiannya berdiri. Si mati pula masih terbaring dalam kedudukan mengiring dengan kedua-dua tangannya memegang perut sebelah kiri. Ketika itu IA melihat di tangan kanan Perayu terdapat sebilah pisau, manakala di tangan kiri Perayu memegang sarung pisau. 

Perayu berkata : "Aku tak tikam dia.."

Seterusnya si mati telah dibawa ke hospital. Pembedahan laparatomy dilakukan serta-merta bagi membetulkan usus si mati yang cedera teruk bagi dibuat sambungan semula. Bagaimana pun si mati disahkan telah meninggal dunia lebih kurang 1 jam selepas pembedahan tersebut.

Pada 18.10.2013, Perayu telah ditangkap.

KECEDERAAN SI MATI

Doktor telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati dan mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan oleh "Incise Wound on the Left Hip Region" iaitu fatal in nature akibat daripada kesan luka daripada pinggul sebelah kiri naik ke atas menyebabkan putus saluran darah yang disebabkan oleh objek tajam. Luka tersebut adalah tusukan yang dalam di bahagian tersebut. 

Kecederaan lain ialah 'right posterior aspect of the forearm' yang dialami oleh si mati yang merupakan kecederaan kerana mempertahankan diri.

Pembedahan laparatomy yang telah dilakukan ke atas mayat si mati tidak menyumbang kepada sebab kematian si mati.


PEMBELAAN PERAYU

Perayu mengatakan bahawa dia telah diberitahu oleh isterinya (KA) bahawa si mati dikatakan akan membahagikan sejumlah wang hasil jualan tanah pusaka arwah ayah mertuanya iaitu  RM30,000.00 setiap seorang seperti yang diberitahu oleh KA tetapi sebaliknya si mati hanya memberi RM500.00 sahaja. Jumlah tersebut ternyata tidak benar dan mengecewakan Perayu. Oleh itu, Perayu terus mencari KA untuk memarahinya.

Si mati telah datang kepada Perayu dan menegur sikap Perayu kerana tidak berpuas hati dengan perlakuan Perayu yang sering memukul adiknya (KA) jika berlaku pertelingkahan rumah tangga.

KEPUTUSAN MAHKAMAH

Di akhir pendakwaan, YA Hakim telah membuat inferen bahawa berdasarkan kepada keterangan saksi utama (IA), kecederaan fatal yang dialami oleh si mati akibat tusukan yang kuat adalah keterangan yang mencukupi bahawa Perayu mempunyai niat untuk menyebabkan bencana tubuh ke atas si mati. Kecederaan yang ditimpa ke atas usus si mati adalah fatal dan tidak boleh dibaik pulih walau pun si mati cuba diselamatkan. 

Pembuktian niat seseorang tertuduh atau individu, jika tiada keterangan secara langsung, masih boleh dibuktikan secara inferen melalui keterangan dan perlakuan tertuduh. Niat untuk membunuh juga dapat dibuat melalui inferen daripada jenis kecederaan yang dialami oleh si mati.

Keterangan IA jelas tidak melihatkan si mati mempunyai sebarang senjata berbahaya ketika kejadian. Dalam keadaan tersebut, Perayu tidak berada dalam keadaan berdepan dengan ancaman ke atas nyawanya / keselamatannya. Namun Perayu telah mengambil peluang yang tidak sepatutnya untuk bertindak secara kejam apabila telah menggunakan pisau menikam si mati.

Berdasarkan alasan-alasan yang telah dihuraikan, seterusnya mengambil kira fakta undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan sepanjang kes perbicaraan maka Mahkamah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.

Perayu dijatuhkan hukuman mati mandatori terhadap jenayah yang dilakukannya. Perayu mempunyai isteri dan 2 orang anak.

Begitulah kisah yang boleh dijadikan tauladan.. 
Semoga ianya menjadi pengajaran atau ikhtibar kepada kita semua..
Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..
Byeee...


Regards,