BEGINIKAH MAKANAN DI KANTIN SEKOLAH? | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Semalam saya dan officemate ke sekolah anak untuk menghantar makan tengah hari. Selalunya mereka terus menaiki van sekolah ke pusat tusyen tetapi semalam mereka perlu menghadiri Kem Bistari Solat bermula pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang. Pukul 1.30 petang mereka perlu berada di surau untuk solat Zohor sebelum memulakan kem. Jadi mereka hanya ada masa setengah jam untuk makan tengah hari.


Kelas tamat pukul 1.00 tengah hari. Para pelajar keluar dari kelas berlari ke kantin. Saya dan officemate tunggu di kantin sekolah. Tak lama kemudian saya nampak anak saya, Arief muncul dan menuju ke arah saya. Wajah ceria apabila nampak saya bawa bekal (tapau) nasi berlauk kari ayam dan sayur. Maklumlah sesekali mama datang bawa makanan, gembiralah dia.

Sambil menunggu Arief makan, saya pandang kiri kanan untuk meninjau makanan tengah hari yang dibeli oleh pelajar di kantin sekolah itu.. Officemate saya bersuara dalam nada terkejut : "Ya Allah Kak, tengok tu dalam polystyrene cuma ada nasi, setompok kuah berwarna kuning dan seketul ayam goreng kecil bersalut tepung. Ntah berapa agaknya harga camtu.." Saya tak sempat memberi response tetapi hanya tergamam apabila melihat majoriti pelajar makan dengan penuh selera dan pelbagai ragam.

Sumber : Facebook
Lihatlah betapa naif wajah kanak-kanak ini.. Mereka hanya tahu bila lapar, nak makan.. Langsung tak menghiraukan kualiti dan kuantiti makanan yang dihidangkan.

Tak lama lepas tu, anak officemate saya tiba bersama seorang lagi kawan baiknya. Anak officemate saya beritahu bahawa kawan dia ada bawa bekal dari rumah tetapi tumpah. Jadi berbekalkan wang RM2.00 budak tadi menuju ke kaunter kantin untuk membeli makanan tengah hari. 

Setibanya dia di meja kami, saya lihat dalam polystyrene yang dia bawa hanya ada nasi dan setompok kuah berwarna kuning seperti kuah masak lemak. "Adik, mana lauk?" spontan ayat keluar dari mulut saya. Dia malu-malu dan terus berbisik ke telinga anak officemate saya. "Dia kata dia nak beli ayam goreng tapi tak cukup duit. Ini RM1.00" jawab anak officemate saya. "Berapa harga ayam goreng?" tanya saya lagi. "RM2.50.." jawabnya.. Officemate saya segera mengeluarkan RM2.00 dan saya tambah RM1.00.. "Nah pergi beli lauk." arah saya kepada budak itu. Dia segera mengambil polystyrene tadi menuju ke kaunter kantin dan pulang semula ke meja kami dengan wajah ceria.. Nampak seketul kecil ayam goreng bersaiz nugget. Saya lihat dia makan bersungguh-sungguh. Habis licin semua langsung tak tinggal sisa.

Sadis I tell you. Hati saya menangis.. Sedih sangat apabila kanak-kanak diperlakukan begitu. Mengapa pengusaha kantin ini tak ada tolak ansur. Sesudu sayur tak akan buat kamu kaya.


Wahai pengusaha kantin. Ini bukan pasar malam. Kamu berniaga dengan kanak-kanak. Saya tahu barang basah di pasaran mahal, jadi pandai-pandailah merancang menu mengikut budget yang ada. Janganlah berkira. Pelbagaikanlah menu budget, janji ada sedikit sayur dan lauk. Mereka​ perlukan makanan berkhasiat bukan makanan mahal atau sedap.

Anggaplah mereka seperti anak kamu, bukan seperti peminta sedekah yang membayar makanan kepada kamu. Sesungguhnya kamu tak akan jatuh miskin jika niat kamu ikhlas, berniaga sambil bersedekah. Kamu terpilih dalam bidang ini di mana dapat menjemput pahala dengan mudah. Janganlah kamu ambil kesempatan dengan anak-anak ini walaupun kamu tahu mereka anak Hakim yang punya personal driver, mereka anak Pengarah Urusan yang memandu BMW, mereka anak ahli perniagaan yang memandu Hummer.. Urusan dan rezeki kamu Allah tentukan..

Kepada ibubapa, rajin-rajinlah pantau apa yang dimakan oleh anak-anak anda di sekolah. Luangkan masa masak untuk mereka. Selain menjimatkan, ianya dijamin bersih dan berkhasiat. Jangan hanya bekalkan mereka wang tanpa mengambiltahu ke mana wang itu dibelanjakan.

Begitulah cerita yang ingin saya kongsi bersama pembaca.. Bagaimana pula dengan pembaca yang mempunyai anak bersekolah, adakah setiap sekolah sama atau sebaliknya?  Kepada pembaca yang masih belum mempunyai anak, sila nyatakan apa perasaan anda berdasarkan perkongsian saya ini. Adakah saya terlalu cerewet atau sememangnya kanak-kanak sekarang wajar dilayan sedemikian?  Saya perlukan komen pembaca.


Sehingga kita bertemu lagi di lain entry..
Sekian, wasalam..


Regards,