Showing posts with label Law. Show all posts
Showing posts with label Law. Show all posts

Friday, February 03, 2023

,
KISAH POKOK MANGGA HINGGA DIDAKWA RM40,000.00 | Kelmarin sedang break di petang hari, saya came across sebuah article di Sinar Harian berjudul "MPK, kakitangan diarah bayar RM40,000 tebang pokok mangga guru". Kes ini berlaku di Kemaman Terengganu di mana Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan seorang kakitangannya diarah membayar ganti rugi sebanyak RM40,000 kepada seorang guru setelah didapati bersalah menceroboh dan menebang pokok mempelam milik wanita itu tanpa pengetahuannya, lima tahun lalu. Kes ini di bawah kategori pencerobohan atau Plaintif menamakan MPK sebagai defendan pertama manakala kakitangannya, Kamsiah Mohd sebagai defendan kedua.
  
Kisah pokok mangga

Kes diputuskan di hadapan Majistret Wan Suhaila Mohd setelah mendapati wujud pencerobohan  yang dilakukan oleh Unit Tindakan Khas (UTK), MPK yang dilakukan di kawasan rumah plaintif.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu didakwa berlaku pada pagi 11 Mac 2018 apabila kakitangan UTK MPK telah melakukan kerja penebangan pokok di kawasan perumahan di Kampung Mak Chili Paya, ketika plaintif tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Kakitangan UTK itu didakwa menceroboh kawasan rumah dengan menggunakan ‘skylift’ dan kren milik MPK serta menebang pokok mempelam milik plaintif yang berada di dalam kawasan pagar rumah wanita itu.

Arahan penebangan pokok mempelam itu didakwa diberikan oleh Kamsiah yang juga merupakan jiran plaintif serta sebagai pegawai MPK yang bertugas di Bahagian Teknologi Maklumat (IT).

Mahkamah mendapati defendan kedua bersalah kerana memberikan arahan penebangan pokok yang salah kepada unit UTK tersebut.

Selain itu, MPK juga bertanggungjawab kerana pencerobohan dilakukan oleh unit UTK di bawah MPK dengan tiada pemantauan oleh mandur atau penyelia MPK ketika kejadian serta tidak menurut prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi penebangan pokok di kawasan persendirian.

Jadikan kes Kisah Pokok Mangga ini sebagai ikhtibar supaya jangan sewenang-wenangnya menceroboh kawasan milik persendirian kerana ianya menjadi satu kesalahan yang boleh didakwa di Mahkamah. 

Okay setakat ini sahaja perkongsian saya kali ini. 
Sehingga kita berjumpa lagi di post akan datang. 
Thank you for reading & have a great day everyone!


Regards,

Wednesday, December 21, 2022

,
KENAPA PANDANG SINIS, SALAHKAH BALIK KERJA ON TIME? | Dipandang sinis apabila balik on time? Perkara ini sering berlaku di kalangan rakan-rakan di pejabat. Bila balik kerja tepat waktunya atau on time rasa bersalah seolah-olah melanggar disiplin. Kenapa perlu takut? Balik kerja on time bukan satu kesalahan jika kita betul-betul memperuntukkan waktu pejabat dengan membuat kerja-kerja yang diamanahkan. Kita akan rasa malu atau serba salah jika kita masuk office lambat tapi balik on time. Itu memang patut rasa bersalah sebab melanggar disiplin dan mencuri masa. 

Always leave office on time

Andai kata waktu kerja dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Bila habis waktu kerja pukul 5.00 petang boleh terus balik. Saya bukan mengajar pekerja supaya balik tepat pada masanya walaupun kerja bertimbun tetapi sekadar berkongsi knowledge kepada mereka yang sering dipandang sinis apabila balik kerja on time. Hakikat sebenar majikan suka bila ada kakitangan stay back buat kerja walhal mereka tak layak claim overtime. 

Jadi untuk memberi kesedaran kepada kakitangan yang terasa bersalah bila balik kerja on time atau selalu kena perli, siapa yang pandang sinis tu boleh rujuk:

Seksyen 60A(9) Akta Kerja 1955 (Akta 265) memperuntukkan "Hours of work" atau “Waktu-waktu kerja” dinyatakan seperti berikut:

Seksyen 60A Akta Kerja 1955

means “the time during which an employee is at the disposal of the employer and is not free to dispose of his own time and movements."

"jangka masa di mana pekerja berada di bawah kegunaan majikan dan ia tidak bebas untuk menggunakan masanya dan pergerakkannya sendiri"

Seksyen 60A(9) Akta Kerja 1955

Undang-undang melindungi hak kita tetapi jangan lupa juga dengan amanah dan tanggungjawab kita terhadap majikan.  

Setakat ini sahaja perkongsian saya kali ini. Sehingga kita berjumpa lagi di post akan datang. 
Thank you for reading & have a great day everyone!


Regards,

Friday, July 24, 2020

,
CARA TUNTUT GANTIRUGI PEMAJU LEWAT SERAH MILIKAN KOSONG ATAU KECACATAN RUMAH BARU | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Lately susah sangat curi masa tulis post dalam blog. Idea banyak sampai tak tahu nak cerita mana satu, akhirnya jadi punca kenapa langsung tak up post hehehe alasan semata-mata!

Okay dalam banyak-banyak idea (seperti yang dikatakan tadi) saya terpanggil untuk kongsi post tentang cara membuat tuntutan gantirugi di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah sekiranya Pemaju lewat serah milikan kosong atau gantirugi kecacatan rumah baru memandangkan terdapat banyak rungutan dari Pembeli berkenaan rumah baru yang mereka beli lewat diserahkan di samping terdapat defect pada rumah tersebut. Harga rumah sekarang bukan murah dan antara Pembeli yang terkesan adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Akibatnya rumah lewat, loan start kena bayar ditambah pula masih menyewa. Kesian kann..

Post ini saya kongsi berdasarkan pengalaman saya sebagai Pegawai Undang-Undang bahagian Property & Community Development Division di sebuah syarikat Pemaju tersohor ketika itu yang beribupejabat di Menara Citibank Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Lebih kurang 4 tahun saya ditugaskan untuk mengendalikan kes tuntutan dari Pembeli rumah di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR). Tugas saya membela Pemaju dari kes-kes difailkan oleh Pembeli yang menuntut pampasan akibat lewat serah milikan kosong dan gantirugi kecacatan (defect) pada rumah mereka setelah menerima kunci.

Serah Lewat Milikan Kosong

Masih lagi tersemat dalam ingatan saya berulang-alik setiap pagi dari office di Jalan Ampang ke Jalan Duta (masa tu pejabat Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah terletak di Bangunan Imigresen Jalan Duta). Kes-kes tuntutan ini biasa dibicarakan di hadapan Presiden Tribunal. Pada masa itu kes-kes yang saya bawa selalu didengar di hadapan Tuan Kamardin bin Hashim. Beliau sekarang bergelar YA Datuk Kamardin bin Hashim yang kini menyandang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya. 

Untuk pengetahun semua, Pemaju perumahan tertakluk kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan & Perlesenan) 1966 [Akta 188] pindaan dan mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta tersebut manakala urusan jual beli rumah dalam pembinaan iaitu Perjanjian Jual Beli yang Pembeli tandatangani sebelum beli rumah tertakluk kepada Jadual G & H Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan & Perlesenan) (Pindaan) 2015.

TEMPOH SERAHAN MILIKAN KOSONG

Pemaju hendaklah menyerahkan milikan kosong kepada pembeli dalam tempoh 24 bulan (rumah atas tanah atau landed property) dan 36 bulan (rumah bertingkat atau high rise) dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani.

Beza serahan kunci dengan serahan milikan kosong

Terdapat perbezaan di antara istilah serahan milikan kosong dengan serahan kunci. Harus diingat serahan milikan kosong dengan serah kunci tak sama tau!

BEZA ANTARA SERAH KUNCI DAN SERAH MILIKAN KOSONG 

Serah kunci tak semestinya Pemaju bagi kunci dianggap serah milikan kosong. Mungkin serah kunci belum sampai tempoh tarikh siap atau Pemaju serah kunci secara tak rasmi bagi tujuan tertentu.

Serah milikan kosong ialah rumah baru sudah siap dalam tempoh yang ditetapkan dan diserahkan secara sah beserta kunci sepertimana yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli. Pada masa ini Pembeli boleh mula check seluruh rumah sama ada terdapat kerosakan (defect) kerana masih dalam tempoh warranty. Sekiranya terdapat kecacatan, Pembeli boleh membuat tuntutan gantirugi.

Sebelum Pemaju menyerahkan milikan kosong, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan melalui peraturan-peraturan dalam Akta yang tersebut di atas.

Keadilan

TRIBUNAL TUNTUTAN PEMBELI RUMAH [AKTA 188]

Kes-kes tuntutan gantirugi kelewatan serahan milikan kosong dan tuntutan gantirugi kecacatan (defect) boleh difailkan di TTPR. TTPR ditubuhkan di bawah Akta Perumahan dan Pengurusan Strata. Kos penfailan tuntutan hanya RM10.00. Kes diselesaikan dalam tempoh 120 hari bekerja dan Pembeli atau Pemaju tidak boleh melantik peguam.

HAD MAKSIMUM NILAI TUNTUTAN

Jumlah maksimum sesuatu tuntutan tidak boleh melebihi RM50,000.00.


JENIS-JENIS TUNTUTAN

Tuntutan Bukan Teknikal - Gantirugi kelewatan serahan milikan kosong atau kemudahan bersama (common facility).

Tuntutan Teknikal - Gantirugi terhadap kecacatan mutu kerja atau tidak memenuhi spesifikasi sepertimana yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli (Sale & Purchase Agreement).

Contoh : kesan bocor pada syiling, kebocoran pada bumbung, lepaan tidak sekata, soket tidak berfungsi, keretakan pada lantai, pintu pagar berkarat dan lain-lain yang berkaitan.

TEMPOH TUNTUTAN

Penfailan tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh tidak lebih dari 12 bulan (setahun) dari :

- tarikh sijil perakuan siap dan pematuhan (certificate of completion and compliance - CCC) yang diluluskan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dan mana-mana undang-undang kecil yang dibuat di bawah Akta tersebut;
- tarikh tamat tempoh kecacatan sepertimana yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli; dan
- tarikh penamatan perjanjian jual beli oleh mana-mana pihak (Pemaju atau Pembeli) sebelum tarikh pengeluaran CCC.

DOKUMEN-DOKUMEN SOKONGAN YANG DIPERLUKAN

- salinan surat perjanjian jual beli,
- salinan surat penyerahan milikan kosong yang diterima daripada Pemaju,
- salinan sijil layak menduduki / sijil perakuan siap dan pematuhan  (certificate of completion and compliance - CCC)
- dokumen-dokumen lain yang berkaitan (seperti gambar defect untuk tuntutan teknikal etc).


Calculation

CARA PENGIRAAN BAGI GANTIRUGI KELEWATAN SERAHAN MILIKAN KOSONG

Contoh :

a) Harga rumah : RM42,000.00
b) Tarikh perjanjian jual beli : 14.03.2002
c) Tarikh patut siap dan serah : 13.03.2005 
d) Tarikh serahan milikan kosong : 18.03.2006
e) Jumlah hari lewat : 370 hari

Formula pengiraan untuk rumah :

Harga rumah (RM42,000.00) x 10% x Jumlah hari kelewatan (370 hari) / 365 hari
Jumlah gantirugi : RM4,257.53

Formula pengiraan untuk kemudahan bersama :

Harga rumah (RM42,000.00) x 10% x 20% x Jumlah hari kelewatan (370 hari) / 365 hari
Jumlah gantirugi : RM851.06

CARA MEMBUAT TUNTUTAN / PERMULAAN PROSIDING

Pembeli dikehendaki mengisi Borang 1 (boleh didapati di kaunter pejabat TTPR).
Nyatakan jumlah tuntutan seperti pengiraan di atas dan butir-butir tuntutan dengan jelas.
Tandatangan dan cap ibu jari pihak yang menuntut (pembeli).

PENFAILAN TUNTUTAN - BORANG 1

Borang 1 hendaklah difailkan di Pejabat Pendaftaran TTPR dalam 4 salinan bersama bayaran yuran RM10.00.

Borang 1 yang telah didaftar dan dimeterai akan diserahkan semula 2 salinan kepada Pihak Yang Menuntut (Pembeli) untuk diserahkan 1 salinan kepada pihak Penentang (Pemaju).

CARA PENYERAHAN PENYATA TUNTUTAN (BORANG 1) KEPADA PIHAK PENENTANG (PEMAJU)

Supaya tidak menimbulkan sebarang pertikaian semasa pendengaran prosiding, saya cadangkan supaya penyerahan Borang 1 kepada Penentang hendaklah dibuat melalui surat berdaftar A.R (A.R Registered Post) atau melalui penyerahan kendiri (serahan tangan secara sendiri kepada Penentang) dialamatkan kepada Pengarah, Pengurus, Setiausaha, Pegawai atau yang lain..

Jangan lupa mesti dapatkan bukti penerimaan dari pihak Penentang. Kalau hantar melalui pos berdaftar A.R (AR Registered hendaklah ada kad kuning yang dikembalikan oleh Pos Malaysia kepada Pengirim.

Jika hantar secara kendiri (serahan tangan secara sendiri kepada Pemaju) hendaklah ada tandatangan dari pihak Pemaju berjawatan seperti Pengarah, Pengurus, Setiausaha, Pegawai atau yang lain pada Borang 1 salinan pihak yang menuntut (Pembeli).

PEMBELAAN

Selepas Borang 1 diserahkan kepada Penentang (Pemaju) tunggu 14 hari. Dalam tempoh 14 hari Penentang dikehendaki membalas tuntutan Pihak Yang Menuntut dalam Borang 2. Borang 2 yang difailkan Penentang akan diserahkan 1 salinan meterai kepada pihak yang menuntut (Pembeli).

Sekiranya tiada sebarang pembelaan atau maklumbalas dari Penentang (Pemaju) dalam tempoh tersebut, pihak TTPR akan menetapkan tarikh pendengaran / perbicaraan kes.

Setakat ini sahaja perkongsian saya tentang cara-cara untuk membuat tuntutan gantirugi kelewatan / kecacatan milikan kosong. In shaa Allah post akan datang saya akan terangkan jenis tuntutan yang tidak boleh dibuat di TTPR dan bagaimana award diberikan kepada pihak-pihak yang berkaitan selepas pendengaran kes.

Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada Pembeli yang menghadapi masalah berkaitan. Saya kongsi di sini sebagai manfaat bersama kerana hanya ilmu yang bermanfaat boleh menjadi pahala berterusan apabila saya meninggal dunia kelak, in shaa Allah.

Sehingga kita berjumpa lagi di post seterusnya.
Sekian, wassalam..
Byeeeee...



Regards,

Friday, April 17, 2020

,
KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA WATTS | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Lama saya tak kongsi kes jenayah yang berlaku di mana setiap kes yang saya kongsi di sini terdapat pengajaran di sebalik kejadian yang berlaku. Walaupun kes ini tidak berlaku di Malaysia tetapi pelaku jenayah ini manusia dan sikap penjenayah ini mungkin ada dalam diri sesiapa sahaja di sekeliling kita.

Tragedi pembunuhan keluarga Watts


LATARBELAKANG KES

Tragedi pembunuhan ini berlaku pada 13 Ogos 2018 di Frederick, Colorado Amerika Syarikat yang melibatkan keluarga Watts. Christopher Lee Watts (Chris Watts) lahir pada 16 Mei 1985 telah berkenalan dengan Shanann Cathryn Watts (Shanann) pada 2010 dan berkahwin pada 3 November 2012 di Mecklenburg County. Mereka dikurniakan 2 orang anak perempuan bernama Bella Marie Watts (Bella) lahir 17 Disember 2013 manakala Celeste Cathryn Watts (Cece) lahir pada 17 Julai 2015. Pada tarikh kejadian Shanann sedang mengandung bayi lelaki yang telah diberi nama Niko dan bakal dilahirkan pada 31 Januari 2019. 

Keluarga Watts

Chris bekerja di Anadarko Petroleum manakala Shanann bekerja dari rumah menjual produk multi level marketing iaitu Thrive. Mereka berpindah dan menetap di Federick Colorado Amerika Syarikat berdekatan tempat kerja Chris Watts. 

Watts' house in North Carolina

Shanann merupakan seorang yang rajin dan berdedikasi dalam setiap apa yang dilakukannya. Dia dikenali sebagai seorang happy go lucky dan sering berkongsi kisah peribadinya di social media hingga mempunyai ramai pengikut.

Facebook Shanann Watts

Para pengikut social media Shanann sering mencemburui kehidupan Shannan kerana dia mempunyai seorang suami yang memahami dan mempunyai sebuah keluarga bahagia di samping 2 orang anak yang bijak. Anak-anak perempuannya begitu rapat dengan Chris terutama Bella. Ada video dalam Facebook Shanann menunjukkan Bella sedang menyanyi : "My daddy is a hero" sambil mereka bergelak ketawa.

KeluargaWatts

KEHILANGAN SHANANN, BELLA DAN CECE

Pada pagi 13 Ogos 2018, rakan baik Shanann merangkap rakan sekerja iaitu Nickole Utoft Atkinson telah menghubungi 911 setelah bimbang apabila panggilan telefon, text messagesnya tidak dijawab oleh Shanann. 

Shanann (kiri) dan Nickole (kanan)

Nickole telah menghantar Shanann pulang ke rumah sekitar jam 12.00 pagi hari yang sama setelah mereka pulang dari business trip di Arizona. Nickole sangat risau kerana Shanann sedang mengandung 15 minggu dan keadaan kesihatan Shanann sepanjang business trip tersebut tidak memuaskan. Dia juga sudah berjanji untuk membawa Shanann ke klinik untuk temujanji.

Pagi itu setelah menghubungi polis, Nickole bersama anaknya pergi ke rumah Shanann. Nickole juga telah menghubungi Chris. Nickole telah bertanya kepada Chris sama ada dia tahu di mana Shanann dan anak-anaknya berada. Chris memberitahu Nickole bahawa dia belum berjumpa Shanann dan tidak tahu di mana mereka berada tambahan pula dia tidak pulang ke rumah dan bekerja pada malam tersebut. Dia turut memberitahu Nickole supaya jangan bimbang kerana Shanann selalu akan membawa anak-anaknya bermain di rumah jiran. 

Semasa polis tiba, tidak lama Chris pulang ke rumah dari tempat kerja. Chris membenarkan polis memeriksa rumahnya. Nickole merasa hairan kerana kereta Shanann berada di dalam garaj dan terdapat car seats anak-anaknya dalam kereta tersebut malah beg tangan, ubat-ubatan dan telefon bimbit Shanann turut berada dalam rumahnya.

Chris ketika ditemuramah oleh pihak media
Chris merayu supaya Shanann, Bella dan Cece pulang ke rumah

Pada keesokan harinya, FBI dan Pegawai Penyiasat Colorado telah membuat siasatan rapi. Chris telah diwawancara oleh pihak media dari Denver KMGH-TV. Dalam temuramah tersebut Chris merayu kepada sesiapa yang mengetahui di mana isteri dan anak-anaknya berada supaya menyuruh mereka pulang ke pangkuannya. 

Chris berkata : "If you’re out there, just come back. If somebody has her, just please bring her back. I need to see everybody. I need to see everybody again. This house is not complete without anybody here.”

Semasa pihak polis memeriksa rumah Watts, jiran Chris telah mempelawa pihak polis untuk melihat rakaman cctv di rumahnya yang berkemungkinan dapat membantu siasatan kehilangan Shanann, Bella dan Cece.

Rakaman cctv jiran Christ Watts

Chris turut menyertai pihak polis melihat rakaman cctv tersebut.  Dalam cctv tersebut kelihatan Chris mengundurkan keretanya di halaman rumah pada jam lebih kurang 5.00 pagi. Namun menurut Chris dia ada pulang ke rumah untuk mengambil peralatan kerja sebelum kembali semula ke tempat kerja awal pagi tersebut.

Rakaman cctv menunjukkan Christ pulang ke rumah awal pagi harii kejadian

Walaupun begitu, jiran Chris merasa pelik dengan tingkah laku Chris semasa dia melihat rakaman cctv tersebut. Chris kelihatan gelisah dan serba tak kena. Perbuatan Chris telah menimbulkan keraguan kepada polis dan jiran tersebut.

Rakaman cctv
Rakaman cctv
Rakaman cctv

Gambar menunjukkan body language Chris yang sedang gelisah dan tidak menumpukan sepenuh perhatian semasa pihak polis meneliti rakaman cctv milik jirannya. 


CHRIS WATTS DISOALSIASAT

Pada 14 Ogos 2018 dan 15 Ogos 2018, Pegawai Penyiasat telah memanggil Chris untuk disoalsiasat memandangkan dia merupakan suami Shanann dan orang terakhir berada di rumah tersebut bersama anak-anaknya. Chris juga dikehendaki untuk menjalani ujian poligraf yang dilakukan oleh Agent Tammy Lee untuk mengetahui kejujuran setiap pernyataan Chris.

Agent Tammy Lee, Biro Penyiasatan Colorado
Agent Perisikan sedang menyoalsiasat Cris Watts

Semasa disoalsiasat Pegawai Penyiasat memaklumkan kepada Chris bahawa dia gagal ujian poligraf. Chris masih lagi menyakinkan Pegawai Penyiasat bahawa segala jawapannya adalah benar dan dia tidak berbohong. Atas kepakaran pegawai tersebut, akhirnya Chris mengalah dan berjanji akan memberitahu polis keadaan sebenar jika dia dibenarkan berjumpa ayahnya.


PENGAKUAN CHRIS WATTS

Akhirnya Chris mengaku bahawa dia mempunyai krisis rumahtangga bersama Shanann pada pagi hari kejadian. Dia telah berbincang dengan Shanann mengenai rumahtangganya hingga ada menyebut mengenai perceraian. Chris memberitahu polis bahawa dia melihat Shanann mencekik Cece di bilik tidur anaknya melalui monitor bayi. Dia juga memberitahu polis bahawa dia telah menjumpai Bella sudah tidak bernyawa  kerana dicekik Shanann di bilik tidur kanak-kanak tersebut. Apabila dia nampak keadaan Bella dan Cece tidak bernyawa, Chris telah bertindak mencekik Shanann hingga mati.

Di kemudiannya membawa ketiga-tiga mayat tersebut ke kawasan tempat kerjanya di mana dia telah menanam mayat Shanann dan membuang mayat Bella dan Cece ke dalam tangki minyak.

Ayah Chris semasa membuat Chris membuat pengakuan

Hal ini bertentangan dengan bukti yang didapati oleh pihak polis dalam telefon bimbit Chris tambahan pula Chris telah gagal melalui ujian poligraph (ujian mengesan penipuan). Pegawai Penyiasat tidak boleh bergantung kepada pengakuan Chris semata-mata. Hasil siasatan polis mendapati Chris mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerjanya iaitu Nichol Kessinger. Polis turut menjumpai beberapa keping gambar hubungan intim mereka.

Chris Watt and Nichol Kessinger

Polis juga menjumpai text messages antara Shanann dan Chris berbincang mengenai krisis rumahtangga yang sedang mereka hadapi.

Text messages antara Christ dan Shanann

Shanann turut memberitahu rakan baiknya mengenai krisis rumahtangganya bersama Chris. Melalui text messages tersebut Shanann memberitahu bahawa Chris tidak mahu anak ketiga yang sedang dikandungnya.

Text messages Shanann kepada rakan baiknya

Lanjutan dari pengakuan Chris tersebut telah membawa kepada penemuan mayat Shanann, Bella dan Cece iaitu di site tempat Chris bekerja.

Anadarko Petroleum 

Chris hanya memberitahu polis tempat dia melupuskan mayat tersebut namun enggan ke lokasi kejadian. Chris memberitahu polis bahawa dia telah memasukkan mayat Bella dan Cece ke dalam tangki minyak manakala mayat Shanann ditanam berdekatan kawasan tersebut. 

Gambar penempuan mayat Bella dan Cece

Chris menulis huruf B iaitu tempat dia memasukkan mayat Bella di tangki kiri mana mayat Cece di tangki bersebelahan ditandakan sebagai huruf C.

Proses mengeluarkan mayat Cece
Proses mengeluarkan mayat Bella
Proses menyedut minyak keluar dari kedua-dua tangki

Polis menggunakan drone untuk menjejaki mayat Shanann yang ditanam di kawasan berdekatan 2 tangki minyak tersebut.

Kain cadar yang digunakan untuk membungkus mayat Shanann

Gambar cerapan drone menunjukkan kain cadar yang digunakan Chris untuk membungkus mayat Shanann. Cadar tersebut sama dengan corak cadar yang dijumpai di dalam tong sampah di rumah Chris. Tidak jauh dari kain cadar tersebut terdapat kesan tanah berselerak, tempat mayat Shanann ditanam.

Bekas tanah yang baru ditimbus

Mayat Shanann ditanam dalam satu lubang yang cetek. Polis menggali kawasan tersebut dan menjumpai mayat Shanann dalam keadaan mengiring seperti sedang memaut lutut.

Bekas mayat Shanann

PERBICARAAN & HUKUMAN CHRIS WATTS

Pada 21 Ogos 2018, Chris telah didakwa di Mahkamah terhadap 5 kesalahan pembunuhan tahap pertama (first degree murder) iaitu menyebabkan kematian anak yang belum cukup umur 12 tahun sedangkan dia adalah orang yang dipercayai untuk melindungi kanak-kanak tersebut, membunuh anak dalam kandungan Shanann dan 3 kesalahan melupuskan mayat.

Chris Watts semasa perbicaraan

Pada 6 November 2018, Chris mengaku bersalah manakala 19 November 2018 Mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada Chris iaitu 4 kali penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat. Hukuman mati tidak dijatuhkan ke atas Chris atas permintaan keluarga Shanann kerana mereka tidak mahu melihat ada lagi nyawa yang terkorban.

Ayah Shanann membacakan perutusan dari keluarganya kepada Mahkamah

PENGAKUAN SEBENAR CHRIS WATTS SELEPAS DIJATUHKAN HUKUMAN 

Selepas Chris dibawa ke penjara, pihak polis ada menemuinya dan bertanya kepada Chris apa sebenarnya yang berlaku? Chris bersetuju untuk berterus terang kerana takde sebab lagi mengapa dia perlu menyembunyikan perkara sebenar yang terjadi.

Chris memberitahu bahawa pada pagi tersebut selepas Shanann pulang dari business trip, dia ada bertengkar dengan Shanann. Chris ada mengatakan kepada Shanann bahawa dia ingin menceraikan Shanann. Shanann marah dan mengatakan kepada Chris bahawa dia tidak akan melihat anak-anak mereka lagi sekiranya sudah bercerai. Perkara tersebut menyebabkan Chris naik angin dan bertindak mencekik Shanann. Apabila Shanann sudah tidak bernyawa, Chris panik dan berusaha untuk membungkus mayat Shanann menggunakan kain cadar. Ketika dia sedang tergesa-gesa, Bella berdiri di muka pintu biliknya memandang perbuatan Chris. 

Cece (kiri) dan Bella (kanan)

Bella bertanya kepada Chris apa yang ayah lakukan kepada ibu? Chris menjawab kepada  Bella bahawa ibu tidak sihat. Dia membawa mayat Shanann yang dibungkus dengan kain cadar ke trucknya dan membawa bersama Bella dan Cece. Menurut Chris, Bella ada bertanya ke mana dia ingin membawa mereka. Chris hanya mendiamkan diri manakala Cece hanya diam kerana masih mengantuk.

Apabila tiba di tempat kejadian iaitu Anadarko Petroleum, Chris menekup mulut Cece yang ketika itu di sebelah Bella dengan kain selimut kegemarannya hingga mati dan membawa mayat Cece naik ke tangki minyak tersebut. Mayat Cece dimasukkan ke dalam tangki minyak disaksikan oleh Bella dari dalam truck.

Lubang tangki minyak sebesar 8 inci

Ketika Chris kembali ke truck untuk mendapatkan Bella. Chris memberitahu bahawa Bella seolah-olah merayu kepadanya dalam ketakutan sambil berkata : "Please daddy, please don't do to me what you just did to Cece." Namun Chris terus menekup mulut Bella hingga Bella tidak bernyawa lagi. Dia kemudian memasukkan mayat Bella ke tangki bersebelahan mayat Cece. Selepas itu dia menanam mayat Shanann. Chris turut mengatakan bahawa dia sangat menyesal dengan perbuatannya.

Ketika Chris menjalani tempoh hukuman, Nichol langsung tidak melawatnya. Menurut Pegawai Penyiasat, mereka ada menyoal siasat Nichol. Nichol mengatakan bahawa dia tidak mahu berhubung lagi dengan Chris memandangkan Chris telah berbohong kepadanya semasa mereka menjalinkan hubungan. Chris juga tidak berterus terang dengannya tentang kandungan Shanann.

Chris kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Waupun, Wisconsin.

PENDAPAT UMUM

Ada antara pendapat mengatakan bahawa sikap Shanann yang mendominasi keluarga menyebabkan Chris sebagai ketua keluarga tidak boleh membuat keputusan melainkan hanya mengikuti kehendak Shanann. Apabila dia berkenalan dengan Nichol yang mempunyai perwatakan manja dan memahami dia terus membuat keputusan hingga sanggup membunuh untuk menyingkirkan Shanann. Tak kurang juga ada yang mengatakan bahawa Chris seorang psychopath. Perbuatan Chris merupakan jenayah yang sangat kejam dan tidak dapat diterima fikiran manusia normal.

Wallahualam.. Begitulah kisah jenayah yang menyayat hati di mana seorang bapa sanggup membunuh isteri dan anak-anak disebabkan hubungan sulit dengan kekasih gelap. Semoga kita terhindar dari perkara yang tidak diingini. In shaa Allah, jika ada iman di dada kita akan dilindungiNya  selalu.

Sekian, sahaja perkongsian saya kali ini. 
Terima kasih sudi singgah.. Until next time.. byee..


Regards,


Loading...

Monday, December 03, 2018

,
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada pembaca semua.. 
Entry kali ini saya ingin berkongsi tentang satu lagi kes jenayah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam awal tahun 2018 ini.. Kes ini mungkin boleh dijadikan ikhtibar kepada kita semua terutama ibubapa yang mempunyai anak-anak yang sedang meningkat remaja, bimbang terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan ubat-ubatan terlarang..
PERTUDUHAN
Pertuduhan dibaca ke atas Orang Kena Tuduh (OKT) / Responden -

“Bahawa kamu pada sekian tarikh jam lebih kurang 11.00 pagi di alamat Bandar Mahkota Cheras, Kajang, di dalam Daerah Hulu Langat, dalam Negeri Selangor, dengan niat telah melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian Yati (bukan nama sebenar) dengan menggunakan senjata pisau. Oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.



Seksyen 302, Kanun Keseksaan :

"302. Punishment for murder
Whoever commits murder shall be punished with death."


Kes Jenayah - Akibat Ecstasy

FAKTA KES
Responden dalam kes ini adalah wanita, bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke. Dia tinggal bersama 6 orang rakan lain dalam sebuah rumah 2 tingkat. Rakan serumah antaranya May dan Yati (si mati).
Pada satu hari, selepas sarapan pagi May naik ke bilik atas untuk berehat. May nampak si mati sedang tidur di bawah tangga. Dalam masa yang sama, May juga nampak Responden sedang turun tangga dari bilik di tingkat atas. 
Selepas lebih kurang 5 minit, May terdengar jeritan dari si mati yang mengatakan : "Mengapa kamu hendak bunuh saya?"
May segera lihat ke bawah untuk memastikan apa sebenarnya berlaku. May nampak Responden sedang memegang 2 bilah pisau di tangan kiri dan kanan. Sebilah pisau telah mengelar sebelah kiri leher si mati manakala sebilah pisau lagi digunakan menikam bahagian belakang si mati berulang kali.
Selepas melihat keadaan demikian, May ketakutan dan kembali ke biliknya dan dia memaklumkan kejadian itu kepada Christine. Christine dengan segera telah membuat panggilan kepada Michelle meminta pertolongan. Selepas 10 minit Michelle datang bersama abang iparnya dan naik ke tingkat atas. May turun membuka pintu untuk membolehkan mereka masuk. 

Sementara itu Responden berjalan mundar-mandir di sisi si mati, May nampak Responden duduk di sisi si mati yang sudah tidak bergerak. May juga terdengar Responden bertanya kepada si mati mengapa si mati masih tidur. Selepas itu Responden ketawa. Ada kalanya Responden diam dan duduk di tempat yang sama tetapi tidak memegang sebarang senjata. 
Abang ipar Michelle telah membawa si mati ke dalam kereta. Rakan serumah yang lain turut mengikuti kenderaan abang ipar Michelle ke Hospital Sg. Long, Kajang. Mereka membiarkan Responden sendirian di rumah tanpa mengunci rumah berkenaan. Si mati disahkan meninggal dunia 30 minit selepas tiba di hospital. 
Pada pukul 2.28 petang seorang Pegawai Penyiasat diberitahu tentang kematian si mati. Pegawai Penyiasat tersebut dan seorang jurugambar polis bergegas ke Hospital Sg. Long.
Pakar Pathologi hospital, ditugaskan membuat bedah siasat terhadap mayat si mati. Beliau mengesahkan bahawa si mati telah meninggal dunia akibat dikelar pada leher. Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa luka tikaman pada badan mangsa tetapi punca utama kematian adalah disebabkan oleh kelaran pada leher yang mengenai carotid artery.



PERTUDUHAN 

Responden dipertuduh dengan kesalahan membunuh seorang yang bernama Yati (‘si mati’) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes pihak pendakwaan adalah bahawa punca utama kematian adalah luka tikaman pada leher si mati dan bahawa daripada laporan ahli kimia. Ia juga adalah keterangan saksi bernama May bahawa selepas kejadian itu, dia mendengar tertuduh menanya si mati mengapa si mati tidur. Hujahan tertuduh adalah berdasarkan atas pembelaan hilang akal dan bagi tujuan ini pembelaan telah memanggil dua saksi iaitu Responden dan doktor perubatan (‘SD2’). Responden memberi pernyataan bertulis yang tidak bersumpah daripada kandang. Responden menyatakan bahawa dia sebelum ini telah mendapatkan rawatan tradisional kerana dia selalu berasa bahawa seseorang hendak membunuhnya. Responden memberi keterangan bahawa, pada hari kejadian tersebut dia mengambil pil khayal dan membunuh si mati, tetapi masih binggung terhadap apa sebenarnya yang telah berlaku. 

Isu-isu untuk keputusan mahkamah adalah: 

(a) sama ada Responden adalah seorang yang tidak sempurna akal; 
(b) sama ada SD2 adalah saksi yang boleh dipercayai; dan 
(c) atas tingkah laku Responden di tempat kejadian tersebut.

PEMBELAAN OKT / RESPONDEN
“Nama saya Ling. Umur saya 32 tahun. Saya dulu bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan. 
Dulu saya banyak minum arak dan ambil dadah. Saya ambil pil ‘ecstasy’. Saya selalu sakit dan rasa takut, perasaan saya selalu terganggu. Saya ada masa rasa sangat suka dan ada masa rasa sangat sedih dan takut.
Saya selalu rasa macam ada orang mahu membunuh saya dan saya dalam bahaya. Saya tak boleh tahan dan saya ada mendapatkan rawatan tradisional.
Selepas satu bulan, saya rasa saya boleh kerja semula. Mula-mula saya tak sakit, tapi lama-lama, saya rasa macam gangguan emosi lagi, saya perasaan bahawa saya macam dengar ada bunyi dalam kepala saya, saya selalu nangis dan tak mahu campur kawan-kawan lain.
Sekali lagi, saya ambil pil ecstasy setiap malam, saya juga tak boleh tidur malam. Saya selalu bangun malam, jalan-jalan dalam rumah saya. Saya selalu mimpi macam-macam perkara yang menakutkan.
Pada hari saya bunuh Yati, saya hanya boleh ingat, saya bangun tidur, saya dan May sudah ubah jadi hantu.
Saya dengar macam-macam suara dalam kepala saya dan saya tengok, saya mesti mahu bunuh Yati supaya itu hantu boleh mati dan saya perlu bunuh Yati untuk bukti sama ada Yati betul-betul sudah jadi hantu.
Saya masuk dapur untuk ambil dua pisau, tapi saya tidak mahu bunuh, saya jalan-jalan dalam ruang dapur dan ruang tamu.
Saya sangat runsing saya dengar macam-macam suara dan lihat macam-macam orang. Saya takut, saya ada naik tangga mahu masuk bilik, tapi saya tak tahu kenapa, saya tak masuk bilik, saya turun balik, saya terus pergi dekat Yati dan saya tikam dia.
Itu sahaja saya ingat, tapi saya selepas itu ada panggil dia supaya bangun dari tidur. Saya tengok banyak darah. Saya duduk dengan Yati, saya panggil dia lagi. Saya ada cakap dengan kawan lain, tolong panggil Yati suruh bangun mahu keluar, tapi mereka lari.
Saya sehingga beberapa hari, saya tak ingat saya sudah tikam mati Yati. Saya jerit, nangis bila tahu dia sudah mati. Saya kawan baik dia, kami kerja di tempat yang sama dan tidur bilik yang sama. Sehingga hari ini, saya sedih dan keliru apa yang telah berlaku.
Itu sahaja saya mahu cakap.

RAYUAN
Pihak Pendakwaraya membuat kesimpulan bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa Responden gila pada masa dia membunuh si mati. Ianya hanya boleh dibuktikan dengan pengesahan dari orang yang rapat dengan Responden dan/atau psychiatrist.
Soalan Timbalan Pendakwaraya (TPR) kepada Doktor Pakar Psychiatrist (SD2) :
“TPR: Saya rujuk kepada report doktor, dalam kesimpulan ini, setuju doktor nyatakan di sini, Cik Ling dia tidak menghadapi penyakit mental yang serius?
SD2: Saya setuju bahawa saya menulis ayat ini. Saya setuju.
TPR: Dan ini adalah hasil daripada pemerhatian dan juga doktor punya kajian terhadap pesakit sepanjang pesakit berada di bawah tahanan Hospital Bahagia, setuju doktor?
SD2: Saya setuju bahawa saya telah menulis ayat ini tapi di sini saya mungkin terangkan. Saya perlu terangkan, Yang Arif bahawa di dalam psychology world, language orang-orang psikiatri ini apabila kita cakap penyakit mental yang serius ini kita maksud tiga penyakit yang saya cakap tadi itu.
YA Arif : Itu maksudnya.
SD2: Skizofrenia, bipolar mood disorder and depression. So, this was the message yang ditulis di sini. Iaitu bukan tiga penyakit mental yang serius.
YA Arif : Maknanya tidak menghidapi penyakit mental yang serius dalam laporan ini bermaksud bukan tiga penyakit tadi?
SD2: Kita bukan cerita pasal tahap. We’re not talking about tahap serius tak serius, kan? Yang tadi itu cerita mengenai tahap.
YA Arif : Yang saya faham tahap disoal tadi.
SD2: Itu semua tahap.
YA Arif : Yang dimaksudkan di sini bukan tahap. Bukan tiga tadi?
SD2: Bukan.

SOALAN DARI KETUA HAKIM :
“S: Masa kamu turun, kamu tengok ada si mati dengan orang yang mati itu dengan OKT di bawah tangga, keadaannya macam mana? Berapa jarak... kedudukannya macam mana masa itu?
J: Yang mati itu tidak boleh cakap apa-apa. Masa itu yang mati itu tidak boleh cakap apa- apa. Masa itu OKT pun duduk sebelah yang mati itu dan cakap, kamu tidur ke, kenapa tak bangun. Lepas itu OKT pun sama gelak juga selepas itu. Dia laugh.
Peguam : Gelak.
YA Hakim : Gelak?
J : Ya Yang Arif.
YA Hakim : Ketawa?
J: Dia ketawa yang mati itu.
YA Hakim : OKT ketawa kepada si mati?
J: Ya Yang Arif.
S: Masa itu ada dia pegang apa-apa senjata?
J: Tangan OKT tidak pegang pisau lagi. Dia letak pisau dekat sebelah dia.

SEMASA PEMERIKSAAN-BALAS
“S: Ada tak sepanjang kamu serumah dengan dia kamu lihat perangai dia yang pelik?
YA Hakim : Yang pelik?
S: Yang pelik yang luar biasa seperti bercakap seorang nampak hantu.
J: Ya, saya nampak juga.
S: Saya nampak apa? Apa yang nampak tu?
J: Saya nampak OKT duduk blur selepas itu.
S: Duduk blur sahaja?
J: Ya duduk blur sahaja. 

YA Hakim : Duduk apa?
S: Duduk blur, dia duduk blur. Lepas itu?
J: Lepas itu dia gelak juga.
S: Ketawa.
YA Hakim : Dia ketawa?
J: Ya Yang Arif.
YA Hakim : Ketawa sendiri, seorang?
J: Sendiri, Yang Arif.
YA Hakim : Ketawa seorang diri?
J: Ya Yang Arif.
S: Selain itu ada tak OKT ada mengadu yang dia nampak hantu ataupun dengar suara?
J: Saya nampak juga ada masa itu OKT shouting.
S: Menjerit?
J: Ya, menjerit.
S: Dan setuju dengan saya, perangai dia memang pelik yang kamu lihat selepas itu. Dia bercakap seorang, bercakap dengan si mati, dia ketawa kepada si mati, setuju tak pelik perangainya itu?

Seterusnya kenyataan SD2 juga diambil perhatian. SD2 menegaskan bahawa pada masa pelakuan kesalahan itu, responden berada dalam keadaan ketidaksopanan dan dia tidak tahu bahawa apa yang dia lakukan adalah bertentangan dengan undang-undang. Dalam keterangannya, SD2 menyatakan seperti berikut - 

PEMERIKSAAN YA HAKIM TERHADAP KETERANGAN DOKTOR PAKAR PSYCHIATRIST (SD2)

S: Terima kasih doktor. Saya merujuk doktor di bahagian kesimpulan, doktor. Doktor bacakan kepada mahkamah kesimpulan yang dibuat oleh doktor terhadap pemerhatian Cik Ling. 

J: Kesimpulan yang saya buat adalah setelah meneliti segala maklumat serta daripada pemeriksaan dan pemerhatian oleh saya, pegawai perubatan dan anggota-anggota paramedic, saya berpendapat bahawa Cik Ling tidak menghidap penyakit mental yang serius. Walau bagaimanapun, saya juga berpendapat bahawa semasa kejadian beliau berada di dalam keadaan tidak waras dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang. Ini adalah disebabkan oleh gejala-gejala psikosis yang disebabkan oleh pengambilan dadah jenis ecstasy yang berterusan dan di masa saya menulis laporan itu keadaan mental beliau adalah stabil dan beliau layak untuk dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan dan boleh membela diri. Itu sahaja, Yang Arif.
S: Doktor sangat pakar dalam perkara ini saya ingin bertanyakan satu soalan luar daripada report doktor. Adakah pengambilan ecstasy ini boleh menimbulkan gejala-gejala kesihatan seperti … of sleep, mood changes, interruption in feeding and sexual behaviour, psychotic disorder including depression, anxiety, imposivity, obsessive composite disorder dan kemungkinan major depression and schizophrenia. Adakah perkara- perkara ini boleh terjadi?
J: Apa yang disenaraikan tadi, Yang Arif adalah benar jika pengambilan itu berterusan.
S: Adakah doktor sahkan sepertimana doktor beritahu mahkamah tadi perkara-perkara yang boleh berlaku jika seseorang mengambil ecstasy berpanjangan? Perkara yang sama telah diceritakan dalam artikel tersebut.
Ketua Hakim : Let the doctor read first whether she agree or not. 

S: Itu soalan saya.
J: Yang Arif, apa yang ditulis di sini adalah kemungkinan menghidap gejala-gejala tersebut, bukan semua gejala-gejala tersebut.
Ketua Hakim : Jadi doktor setuju?
J: Saya setuju Yang Arif.

SEMASA PEMERIKSAAN-BALAS DOKTOR PAKAR PSYCHIATRIST (SD2) 
S: Macam mana tu?
J: Maknanya sebab seorang yang piskotik disebabkan ... orang yang psikotik sakit mental biasa dan orang yang psikotik disebabkan drug induce, dia symptom ada dua biasa ada iaitu halusinasi dan delusi dan disorganize behaviour. Dari dalam drug induce psikosis itu, dia punya disorganise behaviour lebih daripada general pesakit mental.

Diputuskan, membebaskan Responden

(1) Mahkamah mendapati bahawa Responden dengan kesan berterusan penyalahgunaan bahan sehingga mendapatkan rawatan tradisional telah berjaya memasukkan dalam pembelaan hilang akal kerana Responden telah dijejaskan oleh sakit mental ini apabila melakukan kesalahan. Ini adalah akibat pada masa material, Responden tidak faham sifat dan kesan tindakannya, seperti yang disokong oleh kenyataan May yang mendengar Responden menanya si mati mengapa si mati tidur. 

(2) Mahkamah berhak menerima pendapat SD2 dan laporan perubatan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta bertarikh 23 Februari 2015 atas nilai mukanya kecuali pihak pendakwaan telah memanggil pakar keterangan yang lain dalam mematahkan untuk menentangnya. Pegawai siasatan mempunyai tugas untuk menegakkan keadilan terhadap Responden sepanjang proses siasatan tersebut. Maka dikuti dengan penangkapan dan perekodan pernyataan, pegawai siasatan patut menghantar Responden serta merta kepada doktor-doktor perubatan untuk pemeriksaan. Kegagalannya tidak patut digunakan oleh pihak pendakwaan untuk mengadu dan digunakan bagi faedah pihak pendakwaan. 

(3) Atas isu Responden telah menyembunyikan pisau-pisau tersebut, pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti untuk mengesahkan bahawa ia adalah tingkah laku Responden. Keterangan pengelap lantai berada dalam baldi tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa ia adalah Responden yang menggunakannya untuk membersihkan tempat kejadian memandangkan terdapat kesan darah masih kekal di situ. Berdasarkan keterangan, mahkamah memutuskan bahawa Responden memang benar tidak memahami sifat tindakannya pada masa membunuh si mati dan oleh itu mahkamah memerintahkan Responden dibebaskan berikutan s 347 Kanun Tatacara Jenayah.

KESIMPULAN
Barisan YA Hakim berpuas hati dengan semua keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi dan telah membuat keputusan yang betul berdasarkan undang-undang terpakai serta keterangan yang dikemukakan di hadapannya dalam membuat keputusan untuk membebaskan Responden atas sebab gila seterusnya membuat perintah di bawah Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Selanjutnya, rayuan pihak Pendakwaraya ditolak dan YA Hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.  

YA Hakim memerintahkan Responden disimpan dalam jagaan selamat di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak, sementara menunggu perintah YM Sultan Selangor sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 348(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Begitulah kisah bagaimana ecstasy mengakibatkan sakit mental hingga menjurus kepada pembunuhan. Sekian sahaja perkongsian saya kali ini.. Walaupun agak panjang saya ingin pembaca tahu sedikit sebanyak proses perundangan di Malaysia dalam mengendalikan kes jenayah. Sesuatu keputusan dibuat bukan mudah kerana ianya melibatkan undang-undang yang perlu dicabar demi mencapai keadilan. Ianya melibatkan masa depan dan nyawa seseorang. 


Thank you for reading.. 
Sehingga kita bertemu lagi di lain entry..
Sekian, wasalam..
Byeee.


Regards,


Follow Us @ladyinredplanner