Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada pembaca blog ini.. Minggu lepas saya dan collegue bercerita tentang kes pembunuhan yang saban hari berlaku di negara ini.. Macam-macam persoalan kami bincangkan tapi sekadar persoalan yang tiada jawapan dan penyelesaian.. It's obviously beyond our control..

Kali ini saya ingin berkongsi tentang satu kes pembunuhan berlaku sekitar tahun 2006 yang mungkin boleh dijadikan ikhtibar kepada pembaca.. Ianya berpunca dari gagal mengawal kemarahan akibatnya perasaan marah itu dikuasai oleh syaitan hingga bertindak di luar batasan.. First of all saya berkongsi kisah ini bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak.. Tertuduh dalam kes ini menghadapi 4 pertuduhan membunuh kerana menyebabkan kematian isteri dan 3 orang anaknya.

Criminal Case
Kes pembunuhan
LATARBELAKANG KES

Sebelum ini tertuduh tinggal bersama isteri dan 3 orang anaknya di sebuah rumah yang dibeli oleh tertuduh di atas nama isterinya selama empat bulan sebelum kejadian berlaku. Beliau berkahwin dengan isterinya dalam tahun 1998 atas dasar cinta. Kehidupan keluarga mereka bahagia dan beliau amat menyayangi ahli keluarganya terutama 3 orang anaknya. Beliau selalu bawa anak pergi ke masjid dan ajar mereka hal agama untuk menjadi seorang yang alim. 

Isteri beliau menghadapi masalah berkaitan hutang pembelian sebuah kereta jenis Mazda yang dibeli oleh bapa mertuanya atas nama isteri beliau. Pada pertengahan Februari beberapa pegawai bank datang ke rumah mencari isterinya untuk meminta isterinya menjelaskan hutang anggaran berjumlah RM13,000.00. Hutang isteri beliau akan melibatkan rumah mereka jika hutang itu gagal dibayar. Beliau dan isteri ada bertemu dengan bapa mertuanya untuk berbincang mengenai perkara ini namun bapa mertuanya enggan bertanggungjawab sebaliknya menyuruh beliau dan isteri menyelesaikan hutang itu sendiri. Isteri beliau beberapa kali mendesak beliau membayar hutang tersebut tetapi beliau tidak bersetuju kerana beliau memerlukan wang untuk modal pusingan perniagaan beliau bagi menampung kehidupan.

HARI KEJADIAN

Pada petang hari kejadian, 11 Mac 2006 lebih kurang 6 petang beliau sekeluarga menonton tv sambil minum petang di tingkat bawah rumah mereka. Sekali lagi isteri beliau mendesak supaya membayar hutang tersebut. Beliau tetap dengan pendirian bahawa beliau perlu wang untuk modal pusingan perniagaan. Isteri beliau marah dan bising-bising kepada beliau. Beliau dan 2 anak lelaki naik ke tingkat atas dan menonton tv dalam bilik tidur utama untuk mengelakkan pertengkaran dengan isteri beliau. Anak perempuan beliau ketika itu sedang tidur dalam buaian di tingkat bawah.

Waktu azan Maghrib, isteri beliau memanggil 2 anak lelaki beliau turun ke bawah dengan anggapan beliau bahawa isteri beliau mahu memandikan 2 anak tersebut. 2 anak lelaki beliau turun ke bawah manakala beliau terus berada di bilik tidur utama di tingkat atas.

Selepas waktu Maghrib, lebih kurang 15 hingga 20 minit selepas anak-anak lelakinya turun ke bawah, beliau mendengar anak sulung beliau berteriak memberitahu : "Abah, emak pukul adik!". Beliau tidak ambil kisah bila anak sulungnya memberitahu isterinya memukul anak oleh kerana isterinya biasa memukul anak-anak kerana 2 anak lelakinya memang nakal dan mereka memang suka mengadu kepada beliau bila dipukul. Oleh itu bila anak sulung beritahu isterinya pukul adik, beliau tidak terus turun ke bawah.

Beliau kemudian mendapati anak-anaknya tidak naik ke tingkat atas selepas mandi seperti biasa oleh kerana baju mereka berada di biik tidur utama di tingkat atas. Beliau pun turun ke bawah dengan niat untuk membantu isteri memandikan 2 anaknya. Tiba di separuh tangga, beliau melihat anak sulungnya tertiarap di atas carpet di ruang tamu dengan kepalanya berdarah. Manakala beliau melihat anak keduanya dalam keadaan terlentang di sebelah anak sulungnya. Beliau turut melihat isteri beliau duduk dalam keadaan termenung di atas kerusi memandang ke arah anak-anak beliau.



APA YANG BERLAKU?

Beliau masih di atas tangga dan bertanya kepada isteri beliau apa yang berlaku. Isteri beliau menjawab bahawa 2 anak lelaki mereka bergurau sehingga menyebabkan buaian anak bongsu mereka terbalik. Bila beliau bertanya kenapa kepala anak-anak mereka berdarah, isterinya menjawab : "Aku pukul dengan besi buai."

Mendengar jawapan isterinya,  beliau menjadi sangat marah dan terus meluru turun ke bawah. Beliau terus mengambil besi buaian yang berada di hadapan isterinya lalu tanpa berfikir panjang, memukul isterinya yang sedang duduk di kerusi. Isterinya bangun dari kerusi dan beliau pukul isterinya lagi dan lagi sehingga isterinya jatuh ke atas lantai.

Beliau kemudian pergi melihat anak-anak beliau. Beliau panik dan menjerit meminta tolong daripada jiran-jirannya apabila melihat keadaan anak-anaknya sedang nazak. Selepas masuk semula baru beliau melihat anak perempuannya yang disangka sedang tidur tetapi sebenarnya telah tidak bernyawa lagi.

JIRAN-JIRAN TERTUDUH

Beberapa orang jiran telah datang ke rumah beliau. Beliau memberitahu jiran-jiran bahawa beliau telah pukul isterinya kerana isterinya telah memukul anak-anaknya hingga mati. Berdasarkan keterangan salah seorang jiran memberitahu bahawa beliau nampak tertuduh menangis keluar dari rumah dan berkata : "Isteri saya pukul anak-anak saya." Jiran tersebut masuk ke rumah beliau dan nampak 4 mayat bergelimbangan di ruang tamu. Seterusnya jiran tersebut bertanya : "Kenapa buat macam ni?" Beliau menjawab : "Cuba akak bayangkan jika suami akak pukul anak-anak, akak marah tak?" Jiran tersebut berkata : "Memanglah marah tapi kalau marah jangan buat macam ni".. Beliau menjawab : "Tak tahan sebab isteri pukul anak sampai mati."

Dalam keadaan panik beliau telah menghubungi adik perempuan beliau dan bapa mertua beliau memaklumkan kejadian yang berlaku. Beliau turut menelefon talian 999 untuk meminta bantuan ambulan dan polis.

TANGKAPAN

Beliau telah ditangkap oleh polis semasa berada di rumah pada malam yang sama. Beliau telah disoal siasat dan beliau telah menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan yang dilakukan oleh pihak polis termasuk menjalani ujian DNA di sebuah hospital besar.   

HUKUMAN

Setelah meneliti segala keterangan saksi, fakta kes dan proses pendakwaan, Yang Arif Hakim telah menjatuhkan hukuman bukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati tetapi 12 tahun penjara bermula dari tertuduh ditangkap. Faktor peringanan hukuman yang diambil kira oleh YA Hakim kerana tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan. Selain itu, keterangan tertuduh tetap sama dan relevan ketika dalam siasatan, perbicaraan dan soal balas serta telah diterimapakai selaras dengan Akta Keterangan 1950. Tertuduh juga telah menerima hukumannya di mana tertuduh berada dalam keadaan emosi yang tertekan kerana terpaksa berhadapan dengan kemungkinan dikenakan hukuman gantung.

Tindakan tertuduh memukul isterinya akibat 'sudden and grave provocation' apabila melihat kesemua anak-anak kesayangannya berlumuran darah kerana tindakan isterinya yang memukul mereka. Kejadian ini adalah sejarah hitam kepada tertuduh selama-lamanya. 

Pihak Pendakwaraya telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi pertuduhan membunuh 3 anaknya.

Related post : Maksud prima facie

PENGAJARAN

Kes pembunuhan begini biasa berlaku di luar negara seperti yang selalu kita baca dan dengar di media massa, tapi siapa sangka kes ini berlaku di negara kita. Morale of the story, kita kena bijak mengawal emosi terutamanya ketika marah. Jangan sesekali layan sifat marah itu sehingga di luar pertimbangan akal fikiran. Selain itu, perlu bijak menangani masalah dan berbincang untuk mencapai kaedah penyelesaian yang terbaik. 

Semoga perkongsian ini menjadi ikhtibar kepada pembaca, selebihnya anda baca dan nilai sendiri pengajaran lain yang boleh diambil dari kes ini.. 

Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..


Regards,
I am LZ