Monday, March 31, 2025

,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1446H | Selepas sebulan berpuasa, tiba juga Syawal yang dinanti-nanti.. Hari Raya Aidilfitri memang sinonim dengan kegembiraan, makanan yang sedap-sedap dan tentunya masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat-handai.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H

Semoga Syawal kali ini membawa kebahagiaan dan keberkatan buat kita semua.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf Zahir & Batin.


Regards,


Friday, March 28, 2025

,
BENARKAH SURAH AL-WAQIAH MEMBUKA PINTU REZEKI? | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Sebenarnya dah lama saya ingin berkongsi tentang penceritaan di sebalik surah al-Waqiah ini. Saya pernah baca tafsiran surah ini dan ingin abadikan dalam blog post ini. Bukan apa, saya teruja dengan setiap penceritaan yang terdapat dalam surah ini. 

Pembaca beragama Islam tentu tahu bahawa surah al-Waqiah (الواقعة) merupakan surah ke-56 dalam al-Quran, tergolong dalam surah Makkiyah yang diturunkan di Makkah. Surah ini terdiri daripada 96 ayat. Nama surah ini diambil dari perkataan "al-Waqi'ah" yang bermaksud "Hari Kiamat" atau "Peristiwa yang pasti berlaku" merujuk kepada hari kebangkitan dan pembalasan.

Kisah dan kelebihan surah al-Waqiah


Kisah yang ingin disampaikan melalui surah al-Waqi'ah:


1. Mesej utama: Hari Kiamat


Surah ini menyampaikan tentang peristiwa Hari Kiamat dan membahagikan manusia kepada 3 golongan utama: golongan yang didekatkan kepada Allah (Ashabul Muqarrabun), golongan kanan (Ashabul Yamin), dan golongan kiri (Ashabul Shimal). Setiap golongan akan menerima balasan yang berbeza berdasarkan amalan mereka di dunia.


2. Kebesaran dan kekuasaan Allah swt


Al-Waqi'ah menegaskan kekuasaan Allah swt yang mutlak dalam menciptakan alam semesta dan mengatur segala kejadian, termasuk hari kebangkitan. Ayat-ayatnya mengajak manusia untuk merenungi tanda-tanda kekuasaan Allah di sekeliling mereka, seperti penciptaan manusia, tumbuhan, air dan api.


3. Peringatan kepada golongan kafir


Surah ini memberi amaran kepada orang-orang yang mendustakan Hari Kiamat dan menolak keesaan Allah swt. Mereka digambarkan sebagai golongan yang bakal menerima azab yang dahsyat.


4. Ganjaran bagi golongan mukmin


Bagi orang-orang beriman dan beramal soleh, surah al-Waqi'ah memberi khabar gembira bahawa mereka akan ditempatkan di syurga dengan pelbagai nikmat yang tak terhingga.


Kisah menarik dalam surah al-Waqi'ah:


Surah ini tidak mengandungi kisah-kisah naratif seperti beberapa surah lain, tetapi ia penuh dengan peringatan mengenai kehidupan akhirat dan balasan syurga dan neraka.


Menurut satu riwayat, surah ini pernah dibaca oleh sahabat Nabi, Abdullah Ibn Mas'ud, ketika beliau sedang sakit. Nabi Muhamamd SAW menyarankan agar membacanya sebagai amalan yang dapat menghindari daripada kemiskinan, walaupun riwayat ini dipersoalkan tentang kesahihannya.


Keistimewaan surah al-Waqi'ah:


Terdapat kepercayaan biasa dalam kalangan umat Islam bahawa membaca surah ini secara konsisten boleh menjadi sebab diluaskan rezeki dan dijauhkan dari kesusahan. Namun, seperti semua amalan, yang utama adalah niat ikhlas dan ketaatan kepada Allah.


Apa yang dapat saya ringkaskan maksud bagi setiap kumpulan ayat dalam surah al-Waqi'ah seperti berikut:


Ayat 1-6:

Hari Kiamat pasti akan berlaku, tidak ada seorang pun yang dapat menafikannya. Pada hari itu, bumi akan digoncangkan dengan hebat, dan gunung-ganang dihancurkan menjadi debu.


Ayat 7-14:

Manusia pada hari itu akan terbahagi kepada tiga golongan:


1. Golongan kanan (Ashabul Yamin) yang akan berada dalam keadaan sejahtera.

2. Golongan kiri (Ashabul Shimal) yang akan berada dalam kesusahan dan penderitaan.

3. Golongan yang didekatkan kepada Allah (As-Sabiqun / Ashabul Muqarrabun), iaitu mereka yang paling dekat dengan Allah dan mendapat balasan tertinggi di syurga.


Ayat 15-26:

Keterangan mengenai nikmat dan kemewahan yang akan dinikmati oleh golongan yang didekatkan kepada Allah di dalam syurga. Mereka akan hidup dalam kenikmatan, dilayani dengan minuman, makanan, serta perhiasan yang penuh keindahan.


Ayat 27-40:

Kesenangan dan kenikmatan yang juga dinikmati oleh golongan kanan (Ashabul Yamin) di dalam syurga. Mereka akan menikmati berbagai nikmat seperti pohon yang teduh, air yang mengalir, buah-buahan, dan pasangan yang cantik dan sepadan.


Ayat 41-56:

Penderitaan yang akan dialami oleh golongan kiri (Ashabul Shimal) di neraka. Mereka akan diseksa dengan api neraka, angin yang panas membakar, dan air mendidih, serta makanan dari pokok zaqqum yang sangat pahit dan menyakitkan.


Ayat 57-74:

Peringatan kepada manusia agar merenungi kejadian mereka, serta alam semesta sebagai tanda kekuasaan Allah. Allah menciptakan manusia dari air mani, menumbuhkan tanaman, menurunkan hujan, dan menyalakan api sebagai tanda-tanda kekuasaan-Nya yang tak terbatas.


Ayat 75-82:

Allah bersumpah dengan bintang-bintang dan kedudukan mereka di langit, menegaskan bahawa Al-Quran adalah wahyu yang mulia dan diturunkan oleh Allah sebagai kebenaran. Tidak ada keraguan dalamnya, dan ia menjadi peringatan serta petunjuk bagi umat manusia.


Ayat 83-96:

Pengakhiran surah ini menggambarkan keadaan manusia ketika mereka menghadapi kematian. Orang yang beriman akan mendapat kebahagiaan, sementara orang yang kufur akan menderita. Allah menegaskan bahawa tiada yang dapat menolak kepastian Hari Kiamat dan bahawa semua urusan hidup dan mati di bawah kekuasaan-Nya.


Surah ini diakhiri dengan pengajaran bahawa Al-Quran adalah kebenaran dan manusia akan mendapat balasan yang adil pada hari kebangkitan kelak.

Begitulah perkongsian tentang surah al-Waqiah yang sering disebut-sebut supaya menjadi amalan kita setiap hari bukan sahaja untuk rezeki tetapi setiap apa sahaja usaha yang kita laksanakan.. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca yang beragama Islam. 

Thank you for reading and have a great day!


Regards,



Tuesday, March 18, 2025

,
BILA SHOPPING RAYA DI MALL KIAN SENDU | Salam Ramadan dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini.. Pertanyaan saya sebagai mukadimah post kali ini - Baju raya dah beli? Apa warna tema kali ini? Berapa pasang? Ehh macam makcik bawang, sibuk tanya hal orang.. hehehehe 

Menjawab kepada persoalan di atas, saya dah beli baju raya. Tema raya tahun ini dark blue, warna pilihan anak so kita layan saja.. Bercerita tentang persiapan baju raya, minggu lepas saya ke AEON Seremban 2 dan hujung minggu ke Paradigm Mall di Kelana Jaya. 

Terdapat beberapa baris booth menjual baju raya tapi ternyata tak meriah seperti tahun-tahun sebelum ini, sendu gais!

AEON Seremban 2

Al-kisah kita sedia makluman, bila minggu akhir Ramadan menjelang, pusat membeli-belah biasanya akan dipenuhi dengan pelbagai jenama fesyen yang menawarkan koleksi baju raya pelbagai jenis dan warna. 

Sebut sahaja warna apa, fesyen macam mana? Dari baju kurung moden hingga baju Melayu teluk belanga, cekak musang dan sebagainya, suasana di mall biasanya meriah dengan promosi, bunting warna-warni dengan orang ramai yang sibuk memilih pakaian untuk Syawal. Tapi tahun ni, saya perasan kemeriahan tu macam kurang sikit. Ada sesuatu yang berbeza - baju raya masih ada dijual tapi tak semeriah dulu..

AEON Seremban 2

Kalau dulu orang sanggup bersesak-sesak di shopping mall untuk mencari baju raya tapi sekarang saya rasa ramai yang lebih selesa beli secara online. Hanya klik, bayar dan tunggu barang sampai. Jadi tak perlulah bersesak-sesak, berebut saiz dan beratur di fitting room.

Paradigm Mall, Kelana Jaya

Saya rasa ekonomi yang mencabar juga memainkan peranan dalam hal ni.. Harga barang naik, kos sara hidup semakin tinggi, jadi ramai yang berhati-hati semasa berbelanja.. Ramai yang mengutamakan perbelanjaan keperluan seperti makanan dan keperluan rumah daripada membeli baju raya berpasang-pasang dengan harga yang keras..

Lagi satu, mall bukanlah satu-satunya tempat yang membeli baju raya. Banyak lagi tempat, bazaar menjual baju raya sekarang pun banyak dengan tawaran harga lebih rendah dan paling penting harga masih boleh tawar-menawar berbanding di shopping mall.

Agak-agak apa masa depan baju raya di mall akan datang? Mungkin shopping mall begini perlu ikut trend semasa dengan membuat kolaborasi dengan jenama terkenal, lebih banyak pengalaman membeli-belah secara interaktif atau lebih banyak diskaun harga menarik? 

Apa pun, budaya membeli-belah di shopping mall masih ada peminatnya tapi takde crowd yang besar berbanding dulu. Keadaan sudah berubah mengikut peredaran zaman. Kalau shopping mall di Jalan TAR, SOGO etc lain cerita.. Setiap tahun memang jadi tumpuan orang ramai.. Ni kita cerita shopping mall di luar Kuala Lumpur..

My lovely readers pula macam mana? Tahun ni beli baju raya di mana? Shopping mall, online, butik, bazaar.. Jom share..

Begitulah kisahnya cerita bila shopping mall jual baju raya kian sendu.. Okay itu saja.. Sehingga kita berjumpa lagi di post akan datang. Thank you for reading & have a great day everyone!


Regards,


Wednesday, March 12, 2025

,
Salam Ramadan dan Selamat Sejahtera kepada pembaca blog ini.. Alhamdulillah dengan rezeki dan nikmat dariNya. It has been a long time since my last post. Ada tapi sibuk dengan tugasan hakiki. Life has been quite hectic lately..

Susah untuk diluahkan hanya dapat dirasakan.. Dalam usia yang semakin meningkat saya ditemukan dengan pelbagai karenah manusia yang mencabar kesabaran, apa pun saya anggap ianya satu ujian dan tetap bersyukur kerana banyak lagi nikmat lain yang harus disyukuri.

Mentally exhausted

Frankly speaking bila berdepan dengan masalah fitnah dan terjebak dengan tuduhan tak berasas bukan situasi mudah, mentally exhausted. Mengeluh bukan jalan penyelesaiannya. Kadang-kadang saya ingin menyerah kalah tapi banyak perkara perlu dipertimbangkan. Apa saya boleh lakukan adalah terpaksa berdamai dengan takdir. 

Apabila berada dalam situasi ini hati memujuk diri, sesungguhnya ujian mengangkat darjat seseorang di mata penciptanya. Sabar dan istighfar.. Allah is the best planner.. Doa adalah senjata orang mukmin - doa yang baik-baik semoga ada cahaya di hujung tunnel. Sounds like a plot from a TV drama, right? Unfortunately, this was my daily reality. Saya yakin setiap dugaan pasti ada hikmahnya. Doakan saya kuat menghadapi semua ini.

Okay let’s move forward, bagaimana perjalanan Ramadan setakat ini? Pasti sibuk terutama to all mommies out there, bermula persiapan juadah sahur hingga berbuka di samping menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan. Walaupun sibuk tapi seronok hingga menjadi moment indah setiap tahun. Betul tak? Hoperfully everything goes well. 

Sekejap masa berlalu, sekarang kita sudah memasuki minggu kedua berpuasa.. Semoga kita dapat menghayati bulan Ramadan dengan seimbang, memenuhi tanggungjawab duniawi dan ukhrawi dengan penuh keikhlasan dan keberkatan, in shaa Allah.

Sebelum terlupa, maaf sangat-sangat kepada rakan-rakan yang meninggalkan komen dalam blog post sebelum ini. Saya sedar masih belum sempat saya membalas komen-komen tersebut dan belum sempat berkunjung balas. In shaa Allah saya akan meluangkan masa untuk berbuat demikian suatu hari nanti. Terima kasih kerana memahami dan tetap setia hadir di blog ini. Thank you so much for your endless support, really appreciate it.

Okay setakat ini sahaja perkongsian saya kali ini. Sehingga kita berjumpa lagi di post akan datang. Thank you for reading & have a great day everyone!



Regards,


Saturday, March 01, 2025

,
BULAN RAMADAN KEMBALI LAGI, SELAMAT BERPUASA! | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera diucapkan kepada pembaca blog ini.. Alhamdulillah esok kita bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkatan iaitu Ramadan. Bulan yang bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga masa untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan amal ibadah dan menguatkan hubungan dengan Allah swt serta sesama manusia.

Ramadan al-Mubarak

Bermulanya Ramadan, suasana mula berubah. Masjid bertambah meriah dengan solat tarawih, bazaar Ramadan mula menggoda dengan pelbagai juadah dan yang paling indah, kita mula berlumba-lumba mencari pahala. Tak kira di mana kita berada, Ramadan sentiasa membawa satu perasaan yang sukar digambarkan - ketenangan, keinsafan dan kegembiraan untuk berkongsi rezeki. Sayu pun ada bila teringat kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Kepada semua yang berpuasa tahun ini, Selamat Menjalani Ibadah Puasa! Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna, penuh keberkatan dan mendekatkan kita kepada nilai-nilai kesabaran, kesyukuran dan keikhlasan. Mari kita manfaatkan setiap detik dengan sebaiknya - lebihkan ibadah, perbanyakkan doa dan paling penting, hayati bulan ini dengan hati yang penuh keinsafan dan keilhlasan.

Akhir kata, Salam Ramadan kepada semua..

Regards,


Follow Us @ladyinredplanner