Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini.. Blog post kali ini saya ingin kongsi satu kes jenayah yang disebabkan oleh depression atau kemurungan.. Kemurungan merupakan salah satu dari kategori mental disorder yang sering diambil ringan oleh sesetengah pihak.. Ianya bergantung kepada minor atau major depression yang dialami pesakit.. Malah ada antara kita tak tahu bagaimana untuk diagnose penyakit kemurungan ini.. Penyakit kemurungan memberi effect negative kepada perasaan, cara berfikir dan tingkah laku. Ianya berbeza dengan perasaan sedih disebabkan sesuatu keadaan.. 

Okay let's straight to the point..


LATARBELAKANG KES

Kes Jenayah ini berlaku pada 30.01.2014 di mana seorang ayah telah didakwa dengan 3 pertuduhan iaitu membunuh anak perempuannya (kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan) manakala pertuduhan kedua dan ketiga dengan sengaja cuba membunuh 2 lagi anak perempuan yang lain sehingga mengakibatkan kecederaan kepada kedua-duanya (kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan). Semua pertuduhan tersebut dilakukan di rumahnya sendiri. 

KETERANGAN SAKSI IAITU ANAK-ANAK TERTUDUH

SAKSI PERTAMA

Saksi pertama kes ini merupakan anak tertuduh dan juga kakak kepada si mati. Pada hari kejadian lebih kurang jam 4.00 petang, beliau bersama adiknya Y balik dari sekolah agama. Selepas meletakkan beg sekolahnya di ruang tamu, beliau terus naik ke biliknya di tingkat 2. Pada masa itu adiknya Y berada di sofa di tingkat bawah. Ayahnya iaitu Tertuduh pada masa itu juga berada di tingkat bawah. Sejurus kemudian beliau mendengar suara jeritan dari tingkat bawah. Beliau turun ke tingkat bawah dan pergi ke ruang tamu di mana beliau melihat adiknya A berada di ruang tamu dan nampak ayahnya berada di ruang makan bersama Y. Tiba-tiba ayahnya datang ke ruang tamu di tempat A berada dan di tangan ayahnya ada senjata parang.

Beliau terus berlari masuk ke bilik bawah tempat adiknya L sedang tidur dan mengunci pintu. Beliau ada mendengar suara adiknya Y menjerit. Dari bilik bawah beliau kemudian lari menyembunyikan dirinya di bilik tingkat atas. Abang beliau turut sama menyembunyikan diri bersama beliau di bilik atas. Mereka kemudiannya menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan. Selepas mengetahui ayahnya keluar daripada rumah, mereka keluar dari bilik. Beliau kemudiannya diberitahu oleh abangnya bahawa adiknya L telah meninggal dunia.

SAKSI KEDUA, Y

Pada hari kejadian, apabila sampai di rumah selepas pulang dari sekolah, ayahnya membuka pintu. Pada masa itu yang ada di rumah adalah abang, kakak (saksi pertama) dan adik A. Selepas meletakkan beg sekolahnya di ruang tamu, beliau masuk ke tandas di tingkat bawah. Keluar daripada tandas, beliau menuju ke sinki, nampak ayahnya sedang mengasah pisau dan seterusnya beliau ke ruang tamu untuk membaca buku. Berdekatan dengan meja makan, beliau telah dicederakan oleh ayahnya sehingga mengakibatkan jari tangannya putus dan cedera di bahagian leher. Beliau telah bertindak melarikan diri ke bilik air. Ekoran kecederaan-kecederaan tersebut menyebabkan pendarahan yang banyak. Beliau mengesahkan bahawa senjata yang digunakan oleh ayahnya ialah parang.

SAKSI KETIGA, A

Pada masa kejadian beliau berumur 12 tahun. Balik dari sekolah, beliau telah tidur di ruang tamu rumahnya. D (abang), kakaknya (saksi pertama), adiknya Y dan L ada di rumah pada masa itu. Apabila sedar dari tidur, beliau mendapati dirinya mengalami kecederaan di bahagian jari (putus dan tidak boleh disambung) dan juga di bahagian leher. Beliau tidak tahu bagaimana kecederaan tersebut dilakukan. Beliau juga mengatakan dia tidak tahu siapa yang menyebabkan kecederaan ke atasnya tetapi beliau mengesahkan pada masa kejadian tidak ada orang lain di dalam rumah kecuali ahli keluarga termasuk ayahnya. Beliau menyatakan bahawa beliau nampak ayahnya berada dekat dengannya dan beliau pada masa itu merasa takut yang amat sangat. Beliau kemudian bertindak melarikan diri ke rumah jiran. Jirannya telah membawa beliau ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kecederaan-kecederaan yang dialaminya agak teruk.




LOKASI KEJADIAN

Di lokasi kejadian polis bersama ahli forensik mendapati terdapat banyak kesan tompokan darah di ruang tamu, dalam tandas, pintu belakang rumah. Di ruang tamu terdapat mayat yang mengalami kesan potong pada leher oleh senjata tajam yang menjadi punca kematian. Tertuduh yang mengalami kecederaan di kepala berjaya ditangkap di belakang rumahnya.

PERBICARAAN

Mahkamah juga telah memanggil Pakar Perunding Psikologi Hospital Bahagia Ulu Kinta sebagai saksi pembelaan. Beliau mengesahkan bahawa Tertuduh telah mengidap penyakit mental kemurungan (major depressive disorder).

Ciri-ciri penyakit kemurungan atau major depressive disorder ialah :

Sukar / tidak tidur malam
Sering marah-marah kepada orang terdekat
Hilang minat terhadap sebarang kerja 
Rasa diri tidak berguna
Hilang selera makan
Berat badan menurun
Suka menyendiri

Sebelum mengalami penyakit kemurungan ini, Tertuduh merupakan seorang bapa yang penyayang dan suka membuat lawak dengan keluarga tetapi tiba-tiba berubah tingkahlaku sehingga hari kejadian.

HUKUMAN

Hakim memutuskan bahawa Tertuduh telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian kepada L sebagai pertuduhan pertama dan dengan sengaja cuba membunuh Y dan A menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan yang teruk.

Walaubagaimanapun, Tertuduh melakukan perbuatan-perbuatan tersebut dalam keadaan tidak waras dan tidak mengetahui perbuatannya itu adalah salah di sisi undang-undang. Pihak pembelaan telah berjaya membangkitkan pembelaan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan dan bukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati. 

Oleh yang demikian, Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan tetapi diarahkan diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta atas perkenaan DYMM Sultan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 348(5) Tatacara Jenayah.

Selain kes ini ada satu kes lain yang menarik perhatian masyarat Malaysia satu masa dahulu di mana seorang ibu yang sedang berpantang mencampakkan anak yang baru dilahirkannya dari Tingkat 3. Ibu tersebut juga dijatuhkan hukuman yang sama seperti kes ini.. Ianya juga berpunca dari penyakit kemurungan. Jadi masalah kesihatan terutama penyakit yang melibatkan emosi jangan dipandang ringan dan perlu diberi rawatan sewajarnya kerana ianya boleh membahayakan diri dan orang sekeliling.. 

Begitulah perkongsian saya kali ini.. Semoga kisah ini menjadi ikhtibar kepada kita semua.. Jaga diri dan beri perhatian kepada orang tersayang..




Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..
Byeee


Regards,
I am LZ