BLOGGERS WAJAR AMBIL TAHU UNDANG-UNDANG FITNAH (DEFAMATION) DI MALAYSIA  | Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Kali ini saya ingin berkongsi topic yang agak berat mengenai Undang-Undang Fitnah atau Defamation, tengok tajuk pun panjang semacam.. Sebagai bloggers kita juga perlu mengetahui etika penulisan kerana bloggers juga memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat. Bloggers terdedah kepada salah satu risiko terbesar andai tersilap langkah iaitu berdepan dengan saman fitnah. Berbeza dengan wartawan, mereka telah dilindungi dengan akta tertentu malah telah 'dilatih' dengan mempelajari cara-cara penulisan bagi mengelakkan ancaman fitnah dan tindakan saman dalam setiap hasil tulisan mereka. 

Memandangkan saya mengendalikan kes sivil, saya fikir adalah penting untuk saya kongsi di sini bersama rakan bloggers asas Undang-Undang Fitnah sebagai panduan kita bersama. Saya terangkan secara ringkas sebagai gambaran kasar, tak mahulah sampai pembaca terasa bosan seperti duduk dalam kuliah undang-undang pula.. Kalau details sangat dan panjang berjela lebih baik baca Akta Fitnah 1957 kann, hehehe

Akta Fitnah 1957 (Akta 286)
Sebelum Writ Saman difailkan terhadap seseorang yang menfitnah, individu tersebut terlebih dahulu akan menerima surat / notis tuntutan (letter / notice of demand) yang menyatakan bahawa jika dia tidak menarikbalik kenyataan yang diterbitkan, dia akan disaman dengan saman fitnah. Ini merupakan prosiding biasa sebelum memulakan sesuatu tindakan sivil di Mahkamah.

APA ITU FITNAH?

Maksud fitnah ialah merendah-rendahkan reputasi seseorang dalam mana-mana jawatan, profession atau perniagaan sehingga menyebabkan dirinya dicemuh, dicaci, dihina, dibenci dan dikeji di mata masyarakat atau umum. 

APAKAH UNDANG-UNDANG TORT FITNAH (DEFAMATION) DI MALAYSIA?

Di Malaysia, fitnah boleh menjadi kesalahan sivil dan jenayah seperti berikut :
(a) Tindakan sivil : Akta Fitnah 1957 (Akta 286)

Sekiranya Plaintif (orang yang menfailkan Saman Fitnah) berjaya membuktikan bahawa terdapat penerbitan pernyataan fitnah telah dilakukan oleh Defendan (orang yang disaman) dan pernyataan fitnah tersebut dibuat dengan niat jahat dan/atau kata-kata berunsur fitnah yang tidak wajar dilakukan.

(b) Tindakan jenayah : Bab XXI (Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan)

Plaintif dapat membuktikan bahawa perkataan yang disuarakan atau dibaca atau dengan gaya yang boleh dilihat sehingga boleh dipercayai bahawa perbuatan tersebut berniat untuk membahayakan atau merosakkan reputasi  seseorang.

TUJUAN DIWUJUDKAN UNDANG-UNDANG FITNAH

Matlamat asas undang-undang fitnah adalah untuk memberi perlindungan kepada reputasi individu atau entiti lain seperti perniagaan daripada kenyataan tidak benar dan merosakkan nama baik.


KATEGORI FITNAH 

Terdapat 2 kategori fitnah iaitu :
- Libel : pernyataan yang dibuat dalam bentuk kekal seperti teks bercetak (penerbitan) atau secara bertulis termasuk patung, tugu, filem, video dan gambar.

- Slander : fitnah yang dibuat dalam bentuk sementara melalui kata-kata atau isyarat gaya (gestures). Slander hendaklah dibuktikan bahawa Plaintif dapat menunjukkan bukti bahawa mereka mengalami kerugian khas (special damages) yang boleh dianggarkan dalam bentuk wang.

INNUENDO

Sesuatu kenyataan fitnah tidak semestinya secara langsung mengkritik Plaintif, tetapi ianya mungkin dibuat secara sindiran dengan maksud tersirat yang boleh difahami oleh orang ketiga. Sama ada berunsur fitnah atau sebaliknya ianya bergantung kepada fakta dan bukti.

PEMBUKTIAN FITNAH

Dari perspektif undang-undang, 3 persoalan perlu dibuktikan sebelum menfailkan saman fitnah iaitu:

(a) Adakah terdapat pernyataan fitnah?
(b) Adakah kenyataan tersebut dengan jelas merujuk kepada Plaintif?
(c) Adakah kenyataan tersebut telah diterbitkan dan disebarkan kepada orang ketiga?

SILA AMBIL PERHATIAN bahawa kemarahan tidak boleh menjadi asas kepada tuntutan fitnah.

SIAPA YANG BOLEH MEMBUAT TUNTUTAN FITNAH?

Hanya orang yang hidup boleh menfailkan tuntutan fitnah. Undang-Undang Fitnah tidak membenarkan tuntutan dibuat oleh saudara atau wakil si mati untuk menjaga reputasinya semasa hidup.

APAKAH HUKUMAN JIKA ANDA DIDAPATI BERSALAH MENFITNAH?

(a) Tindakan sivil

- Orang yang difitnah (Plaintif) biasanya akan menuntut bayaran gantirugi atau pampasan. Tiada formula tetap bagi menentukan bayaran gantirugi. Kerugian akan dinilai oleh Mahkamah setelah meneliti dan mempertimbangkan beberapa faktor, seperti pengaruh, sejauhmana kerugian yang dialami atau Defendan telah membuat permohonan maaf secara terbuka (bagi kes libel) dan sebagainya.

Gantirugi terdiri daripada gantirugi am, gantirugi khas, gantirugi teladan (exemplary damages), gantirugi teruk (aggravated damages), sekatan / injunksi dan/atau permohonan maaf secara terbuka dengan cara pengiklanan.

(b) Tindakan Jenayah

- Hukuman : Denda atau penjara hingga 2 tahun, atau kedua-duanya.

Itu sahaja secara ringkas mengenai Undang-Undang Fitnah di Malaysia. Harus diingat pembiayaan untuk tindakan undang-undang di Mahkamah melibatkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang apatah lagi jika melibatkan Undang-Undang Fitnah. Ini adalah kerana ianya sukar untuk dibuktikan dan memerlukan kepakaran melibatkan pengalaman dalam mengendalikan kes-kes fitnah.

Sila rujuk senarai peguam-peguam yang mengendalikan kes fitnah -> Area of Practice - Defamation.

Okay, begitulah serba-sedikit ilmu yang ingin saya sampaikan.. Boleh faham tak implikasi terhadap Undang-Undang Fitnah? Oleh itu, adalah perlu bagi setiap blogger untuk menapis setiap entri yang diterbitkan supaya tidak menyentuh reputasi individu bagi mewujudkan satu komuniti sihat dan bebas fitnah.

Semoga entri ini sedikit-sebanyak memberi manfaat kepada pembaca blog ini..
Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..


Regards,