Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca blog ini.. Bulan Disember 2017 akan melabuhkan tirai beberapa hari lagi.. Penutup tahun ini bukanlah kenangan indah bagi saya dan keluarga sejak ayah sakit awal bulan ini.. Sejak itu setiap hujung minggu saya pulang ke kampung untuk memastikan perkembangan kesihatan beliau.. Jadi izinkan saya mengabadikan kisah saya bersama ayah di entri ini..

Untuk pengetahuan pembaca beliau trauma ketika dimasukkan ke hospital tempoh hari. Trauma bukan kerana rawatan yang diberikan tetapi sebaliknya, cukuplah ianya menjadi kenangan pahit bagi kami sekeluarga. Hari ke-4 kami adik-beradik sepakat untuk discharged ayah sebelum beliau menerima rawatan sewajarnya dari pihak hospital. Sebaliknya dengan persetujuan ayah kami mengambil risiko untuk membawa ayah mendapatkan rawatan di klinik swasta. Alhamdulillah selepas mendapatkan rawatan di klinik itu ayah menunjukkan perubahan positif, beliau nampak lebih ceria dan bersemangat dari hari ke hari. Pada kami pesakit bukan hanya memerlukan rawatan tetapi perhatian dari segi emotional supaya pesakit lebih positif melawan sakit yang dihadapi.

Hari-hari yang suram
MINOR SURGERY 

Selepas ayah keluar hospital, kami membawa ayah ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan susulan. Ayah segera menjalani minor surgery di bahagian kakinya. Saya melihat sendiri bagaimana 'seksa' beliau menahan sakit ketika doctor mencuci luka di kakinya tanpa bius. Menurut doctor, ubat bius tidak boleh diberikan semasa prosedur ini bagi mengelakkan kuman membiak dalam darah. Kaki beliau ditoreh bahagian atas dan menembusi tapak kaki bagi mengeluarkan nanah dan darah kotor yang sudah lama bertakung. Bahagian celah-celah 3 tulang jari kaki dibersihkan dengan teliti hingga mengeluarkan darah bersih. Beliau menjerit kesakitan dan kami hanya mampu memegang tangannya memberi semangat, sambil airmata berjurai-jurai menangis kerana tak sampai hati melihat beliau diperlakukan sedemikian. Namun demi kebaikan kami rela dalam terpaksa..

Beliau menjalani prosedur begitu setiap hari hingga doctor berpuas hati dengan keadaan luka dan tahap gula dalam darahnya.



HARI-HARI YANG SURAM

Sejak ayah sakit, hujung minggu merupakan hari yang ditunggu-tunggu.. Tak sabar pulang ke kampung menjenguk ayah walaupun tanpa bermalam. Sepanjang ayah sakit, saya rasa lebih rapat dengan ayah.. Setiap kali mesti duduk di samping ayah.. Sewaktu menyapu losyen di tangannya beliau sempat bersembang mengenai kisah silamnya hingga kami sama-sama menangis.. Ayah seolah-olah memberikan nasihat terakhirnya dan beliau sedia jika berlaku sebarang kemungkinan.. Antaranya beliau berpesan supaya selalu merendah diri, sentiasa bersedekah, rajin tolong orang susah, jangan berkira membantu orang lain dan sebagainya.. Sedih, hanya Dia yang tahu perasaan ini.

Saya kira itu antara moment yang akan saya kenang sepanjang hayat kerana selama ini kami tidak diberi kesempatan untuk bercerita dari hati ke hati. Masing-masing sibuk dengan tanggungjawab duniawi.. Saya berdoa semoga ayah sembuh sepenuhnya dan sentiasa dilindungiNya selalu.. Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.. 

Sehingga kita bertemu lagi di lain entri..
Sekian, wasalam..


Regards,