FESYEN PEGUAM MENGAPA HITAM DAN PUTIH? | Tahukah pembaca bahawa peguam mempunyai kod etika pakaian ketika menghadiri kes di Mahkamah. Setiap peguam tidak boleh sesuka hati memakai pakaian mengikut citarasa sendiri apatah lagi mengikut gaya pakaian celebrity. Kod etika pakaian peguam telah ditetapkan mengikut jenis Mahkamah ketika mereka bersidang dan sudah semestinya pakaian asas adalah warna hitam dan putih.

Untuk pengetahuan, kod etika pakaian bagi peguam di Malaysia telah diputuskan oleh YAA Ketua Hakim Negara setelah berunding dengan YAA Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Hakim-Hakim Besar dan Majlis Peguam seterusnya pekeliling dikeluarkan untuk dipatuhi.

Suka atau tidak dengan warna hitam putih, seseorang yang bergelar Peguam perlu akur dengan arahan tersebut.


Photo credit to Pinterest

MENGAPA HITAM DAN PUTIH?

Terlalu banyak versi mengenai perkara ini. Salah satu versi ialah kod pakaian ini bermula lebih kurang abad ke-17. Ketika Ratu Mary II meninggal akibat cacar pada tahun 1694, bermula dari itu 'duda' si mati iaitu Raja William III memerintahkan semua hakim dan peguam untuk menghadiri kes di Mahkamah hendaklah memakai gaun hitam sebagai tanda berkabung kepada ratu. Ia merupakan satu Perintah yang tidak pernah dibatalkan secara rasmi. Walau bagaimanapun, bermula dari itu peguam menyukai dan menggunapakai pakaian seragam ini kerana ia memberi aura misteri dan 'gerun' ketika di mahkamah.


Versi lain pula menyatakan Peguam dan Hakim memakai warna hitam kerana hitam adalah warna di mana tidak ada warna lain yang dapat diwarna di atasnya. Ini secara langsung bermaksud segala keputusan Hakim adalah muktamad, kita tidak dapat mengubahnya dengan cara apa pun. Selain itu, putih melambangkan kesucian dan ketelusan. Ini bermakna bahawa keputusan hakim adalah murni dalam setiap aspek.

Bagi Peguam pula ia bermaksud mereka teliti dengan pendapat, pemikiran, tafsiran undang-undang dan proses perundangan mereka. Dalam apa-apa cara sekalipun mereka tidak akan berkompromi. Mereka juga tetap dengan pendirian yang telah dinyatakan dalam sesuatu kes serta hujah-hujah yang dikemukakan berdasarkan kepada fakta-fakta yang diberikan oleh peguam.

Ada pula versi lain yang mengatakan bahawa Mahkamah bukanlah tempat untuk bergembira tetapi tempat di mana kebanyakkan orang berdukacita. Oleh itu hitam melambangkan kesedihan atau dukacita.

Photo credit to Pinterest
Berikut merupakan pakaian yang mesti dipatuhi oleh peguam-peguam yang menghadiri perbicaraan di mahkamah bedasarkan pekeliling yang telah dikeluarkan :  

PAKAIAN DALAM MAHKAMAH TERBUKA DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN, MAHKAMAH RAYUAN, MAHKAMAH TINGGI DAN MAHKAMAH KHAS 

LELAKI 
Kemeja
Lengan panjang warna putih dengan wing collar warna putih dan bib
Seluar Panjang (longgar) 
Warna hitam/biru kelasi/kelabu gelap. Jalur-jalur dibenarkan.
Jaket 
Warna hitam. Butang brass (butang besi / berkilat) tidak dibenarkan
Stoking 
Warna hitam/biru kelasi/kelabu gelap
Kasut
Warna hitam/biru kelasi/kelabu gelap 
Jubah
Warna hitam 
Pakaian di kepala
Serban dan songkok dibenarkan.

Photo credit to Google

WANITA 
Blaus
Lengan panjang warna putih dengan wing collar warna putih dan bib.
Skirt 
Warna hitam/biru kelasi/kelabu gelap dan labuhnya di bawah lutut. Jalur-jalur dibenarkan. 
Seluar panjang (longgar)
Warna gelap, longgar dan tidak mendakap anggota badan 
Pakaian Tradisional
Bukan berwarna garang dan tidak menjolok mata.
Jaket
Warna hitam. Butang bras tidak dibenarkan. 
Sarung Kaki
Nilon - Pilihan hanya warna kulit sahaja yang dibenarkan. 
Kasut
Warna hitam/biru/kelabu gelap. Sandal tidak dibenarkan di dalam Mahkamah. 
Jubah
Warna hitam 
Pakaian di kepala
Warna hitam/putih/biru kelasi/kelabu gelap. Bunga yang tidak keterlaluan atau corak bercap juga dibenarkan.

 
Photo credit to Google

AKSESORI PAKAIAN

Semua peguam (lelaki dan perempuan) ditegah memakai apa-apa emblem, riben, lencana, ikatan dan lain-lain yang melambangkan mana-mana parti politik atau bermotifkan politik. Selain pakaian make-up juga jangan keterlaluan contoh mengenakan lipstick warna garang sehingga menarik perhatian ramai memadai hanya mengenakan nude lipstick.

Dari kiri : wing collar, robe (jubah) dan bib

PAKAIAN DI MAHKAMAH SESYEN, MAHKAMAH MAJISTRET DAN DI DALAM KAMAR MAHKAMAH TINGGI

Pakaian yang dibenarkan seperti di atas tetapi:
a. Tanpa jubah 
b. Kemeja putih bertali leher yang tidak berwarna garang (wing collar dan bib dibenarkan) 
c. Bagi wanita yang memilih memakai tali leher hendaklah tali leher yang tidak berwarna garang (wing collar dan bib dibenarkan). 

Photo credit to Google
Secara umum saya boleh katakan bahawa selain atas sebab-sebab professional, hitam adalah warna yang boleh disesuaikan dengan warna lain. Persepsi mengenai warna hitam sebagai warna misteri dan bosan saya sangkal sama sekali dan apabila sudah menjadi kebiasaan sehingga kini saya suka berpakaian hitam.

Begitulah perkongsian saya kali ini mengenai lawyers' dress code in the Court room.


Sehingga kita bertemu lagi di lain entry..
Sekian, wasalam..


Regards,